Berita UtamaDunia

Pelarian Rohingya dakwa minum air kencing sendiri untuk terus hidup

Ada mayat mati di dalam bot dan terpaksa dibuang ke laut

LHOKSEUMAWE (INDONESIA), 5 Zulkaedah 1441H, Ahad – Nasib malang menimpa pelarian Rohingya yang terdampar di laut apabila mendakwa mereka dipukul penyeludup, malah lebih teruk terpaksa meminum air kencing sendiri bagi meneruskan kehidupan sepanjang tempoh empat bulan.

Rabu lalu, mereka telah diselamatkan oleh nelayan Indonesia dan ditarik ke pantai oleh penduduk tempatan pada keesokannya.

Kira-kira 100 pelarian Rohingya yang ditemui kebanyakannya adalah wanita dan kanak-kanak.

Berkongsi pengalaman pahit, mereka turut mendakwa, ada di antara mereka yang mati dan terpaksa membuang mayat ke laut.

Dua daripada mangsa terselamat mendakwa, penyeludup yang diupah untuk mengangkut mereka telah bertindak memukul sebelum meninggalkan etnik Rohingya berkenaan di laut.

“Kami begitu menderita di dalam bot itu. Mereka menyeksa dan mencederakan kami. Malah, salah seorang daripada kami telah mati.

“Pada mulanya, ada makanan tetapi apabila ia sudah habis, mereka (penyeludup) memindahkan kami ke bot lain dan membiarkan kami hanyut di lautan,” kata Rashid Ahmad, 50, kepada pemberita di pusat tahanan imigresen di bandar Lhokseumawe di pantai utara Sumatera.

Seorang lagi mangsa terselamat dikenali sebagai Habibullah mendakwa penyeludup memukul kesemua pelarian itu termasuk telinga dan kepalanya juga dicederakan.

Bagaimanapun, media antarabangsa masih belum dapat mengesahkan kesahihan kisah pelarian itu.

Pada masa sama, media melaporkan bahawa etnik terbabit telah memulakan perjalanan pada awal tahun ini, berhampiran sebuah kem pelarian Rohingya di Bangladesh.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close