Berita UtamaIstimewa

Pemimpin Cina tak hormat bahasa kebangsaan, mereka tak ambil iktibar!

Hang Soon patut tahu perkara rasmi perlu gunakan bahasa Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Ahad – Ahli politik Melayu dalam blok kerajaan wajar menegur tindakan Datuk Dr Man Hang Soon yang seolah-olah mengetepikan bahasa kebangsaan dalam kenyataannya di Facebook baru-baru ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan Hang Soon menulis atas kapasiti Timbalan Menteri Pendidikan I.

Tegasnya, meskipun sesuatu perayaan itu membabitkan orang Cina, Hang Soon tidak semestinya perlu memberi ucapan dalam bahasa Mandarin, apatah lagi menggunakan logo rasmi kementerian.

“Beliau sepatutnya memahami bahasa Melayu itu dengan baik. Mungkin beliau ingat ia satu peristiwa budaya Cina dan boleh ditulis dalam bahasa Cina.

“Apabila ditulis dalam bahasa Cina, sasarannya sudah tentu kepada orang Cina sahaja dan kepada mereka yang bukan Cina tetapi faham bahasa Mandarin hanya beberapa orang. Namun apabila ditulis dalam bahasa Melayu ia dapat dikongsi bersama-sama rakyat Malaysia.

“Justeru, nampak sangatlah di sini beliau tidak menghormati bahasa kebangsaan selain tidak memahaminya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Pada masa sama, Kok Seong kesal apabila kejadian ini sering kali berulang membabitkan menteri bukan Melayu meskipun sudah ditegur.

“Sepatutnya tidak berlaku lagilah kerana apabila selalu berlaku dan ditegur, sudah tentu diambil iktibar. Namun terus berlaku dalam kalangan pemimpin Cina ini,” katanya.

Beliau turut bersetuju pemimpin Melayu tidak seharusnya berdiam diri sebaliknya menegur tindakan Hang Soon bahawa apa-apa perkara rasmi di negara ini perlu menggunakan bahasa Melayu.

“Tambah-tambah lagi kerajaan sekarang, kerajaan Melayu, jadi perlu sangatlah ditegur. Kalau dahulu PH itu kita faham kerajaan itu bukan sangat kerajaan Melayu dan imej yang ditonjolkan merangkumi semua,” katanya.

Terdahulu, Hang Soong yang juga Timbalan Presiden MCA menerusi akaun Facebook memuat naik poster dengan logo KPM, memberi ucapan Selamat Menyambut Perayaan Perahu Naga dalam bahasa Cina.

Menurut terjemahan, Hang Soon berkata: “Mari kita meraikan semangat patriotik Qu Yuan dengan menyambut festival Perahu Naga untuk meneruskan intipati budaya Cina.”

Sebagai respon kepada reaksi netizen yang mengecamnya, beliau bertindak membuang logo KPM itu dan menyatakan bahawa ia adalah satu kesilapan.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close