Berita Utama

Selagi Tun hidup Anwar takkan jadi PM

Mukhriz jadi proksi untuk langsai agenda politik peribadi

BANGI, 5 Zulkaedah 1441H, Ahad – Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa mahu menjadi Perdana Menteri kesembilan kerana ingin melangsaikan agenda penting politik peribadi beliau yang gagal dilaksanakan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun keputusan bekas Perdana Menteri itu mendapat tentangan yang hebat dari pakatan pembangkang yang cuba dibentuk terutama dari parti Warisan, dakwa Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad.

Dakwanya lagi, sebagai jalan tengah Dr Mahathir bersetuju untuk melantik Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.

“…dengan syarat anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri 2 bagi melaksanakan agenda perjuangan politik peribadi beliau yang masih tetangguh (sebagai proksi).

“Perkembangan politik semasa ini menyebabkan kita amat yakin bahawa selagi Tun M hidup Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan jadi Perdana Menteri,” dakwanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhammad Lukman turut mendakwa selagi Dr Mahathir hidup, beliau akan terus mengumpul kekayaan dan perjuangkan agenda peribadi untuk ahli keluarga sendiri seperti mana yang telah dilakukan sejak menjadi Perdana Menteri keempat selama 22 tahun yang lalu.

“Demikianlah bacaan politik saya. Boleh jadi betul. Boleh jadi salah. Namun kedua-duanya merugikan kita semua,” katanya.

Dr Mahathir telah memusnahkan sekali lagi impian Anwar apabila memilih Shafie untuk menjadi calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH).

Keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, dan beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan.

Dr Mahathir berkata, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Muhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Sebelum ini, cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri musnah selepas Dr Mahathir melepaskan jawatan sehingga Pakatan Harapan (PH) tumbang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button