Berita Utama

Undi percaya tidak canggah perundangan, perkukuh setiakawan

Kejayaan dapat undi percaya datangkan keyakinan kepada kerajaan

BANGI, 7 Zulkaedah 1441H, Isnin – Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz menegaskan, ketika ini terdapat kewajaran untuk mempercayai bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Ini kerana, katanya, tiada laporan mengenai mana-mana ahli dewan yang menyatakan mereka telah menukar kepercayaan atau telah hilang kepercayaan kepada Perdana Menteri atau ramai menggunakan istilah sokongan.

Bahkan, kata Dr Shamrahayu, pembangkang kepada kerajaan juga tidak menunjukkan dengan tegas bahawa mereka mempunyai kepercayaan majoriti.

“Oleh itu, kedudukan asal, iaitu Perdana Menteri mempunyai kepercayaan majoriti ahli dewan adalah kekal dan berterusan sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, jika dikatakan Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti, maka pihak yang menyatakan sebegitu hendaklah membuktikan dakwaan tersebut.

“Walaupun begitu, saya tidak nafikan mana-mana pihak, pada bila-bila masa, boleh menyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri. 

“Penyataan kepercayaan ini tidak dihalang oleh mana-mana undang-undang walaupun ia tidak dinyatakan secara harfiah dalam Perlembagaan Persekutuan. 

“Ia juga adalah baik untuk dinyatakan kepercayaan kepada Perdana Menteri untuk menunjukkan sokongan dan menunjukkan sikap setiakawan dalam perikatan parti-parti yang membentuk kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut isu undi percaya yang dibangkitkan, Dr Shamrahayu berkata, belum dapat dipastikan dalam bentuk apa usul undi percaya kepada Perdana Menteri hendak disuarakan dalam Dewan Parlimen nanti. 

“Adakah ia cuma pernyataan sepintas lalu atau ia akan dibuat dalam bentuk satu usul yang dimasukkan dalam agenda dan akan diundi.

“Walau apa pun, sekiranya ia suatu usul yang diundi, maka kejayaan mendapatkan undi percaya itu adalah suatu yang akan mendatangkan keyakinan dan kekuatan kepada kerajaan,” katanya.

Pun begitu, jika perkara sebaliknya berlaku, katanya, maka ia akan mendatangkan persoalan besar kepada kerajaan bahkan dari segi teori undang-undang, terdapat kemungkinan ia akan mengesahkan hilangnya kepercayaan majoriti kepada Perdana Menteri. 

Katanya, ini kerana antara petanda seorang Perdana Menteri telah hilang kepercayaan majoriti ialah, apabila diminta kepercayaan kepada Perdana Menteri dari Ahli Dewan, tetapi kepercayaan tersebut gagal diperolehi, maka kegagalan mendapatkan undi percaya itu membawa maksud undi tidak percaya.

“Bagi negara kita, keadaan seperti ini belum pernah berlaku pada peringkat Persekutuan, bahkan seingat saya, keadaan seperti ini juga tidak pernah berlaku di mana-mana negeri. 

“Sukar juga untuk saya menentukan apa yang pasti akan berlaku. Namun yang pasti, sekiranya undi percaya tidak dapat diperoleh, kemungkinan Perdana Menteri akan hilang kepercayaan adalah antara pilihan tafsiran yang sedia ada,” katanya.

Sebelum ini, dilaporkan bahawa PAS akan mengemukakan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Muhyiddin untuk dibentang serta dibahaskan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula 13 Julai ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, usul itu dibuat bagi menzahirkan sokongan dan kepercayaan terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang disifatkan parti itu sebagai prihatin serta mengutamakan rakyat sejak menerajui pentadbiran negara mulai Mac lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close