Berita Utama

Kerajaan cadang lantik Orang Asli jadi guru takmir

Dalam usaha tingkat syiar Islam dalam kalangan golongan itu

CAMERON HIGHLANDS, 18 Muharram 1442H, Ahad – Kerajaan bercadang mewujudkan program khas bagi melantik guru takmir dalam kalangan masyarakat Orang Asli sebagai antara usaha meningkatkan syiar Islam dalam kalangan golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata cadangan itu juga bertujuan memastikan setiap kawasan petempatan masyarakat Orang Asli mempunyai guru takmir.

“Pelantikan guru takmir memang di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam negeri yang mengatur tempat pembelajaran.

“Tetapi kita nak kalau boleh ada perubahan yang lebih bersifat menyeluruh dari segi penyampaian dan tugasan supaya semua tempat ada guru takmir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Kembara Kasih Mualaf 2020 di Kampung Kuala Boh, di sini hari ini.

Zulkifli berkata cadangan itu sedang diperincikan oleh pihaknya dan Jakim, serta berharap dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Bilangan mereka yang dianggap sedikit ketinggalan mengenai agama dalam kalangan masyarakat Orang Asli perlu beri perhatian sewajarnya,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Zulkifli berkata Kembara Kasih Mualaf akan diteruskan dari semasa ke semasa di kawasan lain untuk memastikan hubungan bersama saudara baru lebih akrab.

Katanya melalui program tersebut, pelbagai modul pembelajaran perkara asas seperti cara solat, mangambil wudud, mandi wajib dan mandi jenazah dapat diajar sebaiknya.

Pada majlis itu, Zulkifli melawat beberapa buah rumah dan turut meluangkan masa beramah mesra dengan mualaf selain menyampaikan sumbangan barangan keperluan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button