COVID-19: Darurat lanjut sebulan lagi di Thailand
Langkah khas, dekri eksekutif bantu kawal penularan wabak

BANGKOK, 7 Zulkaedah 1441H, Isnin – Perdana Menteri, Prayut Chan-o-cha berkata, kemungkinan darurat dilanjutkan untuk sebulan lagi dan kelonggaran sekatan pergerakan membabitkan aktiviti perniagaan fasa kelima dilaksanakan bertujuan membantu golongan miskin dan penganggur, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Beliau berkata, langkah khas dan mengenakan dekri eksekutif ke atas pentadbiran awam ketika darurat membantu mengawal penularan wabak, justeru kerajaan perlu melanjutkannya di bawah ketetapan itu.
Dekri darurat memberi kuasa kepada kepada kerajaan bagi melaksanakan langkah pencegahan yang pantas termasuk menangguhkan serta menyambung semula perniagaan dan aktiviti lain.
Perdana Menteri itu berkata kerajaan tidak berniat menyalahgunakan keputusan berkenaan untuk mengehadkan hak rakyat tetapi dilaksanakan ekoran kebimbangan terhadap penularan COVID-19. – Bernama