Berita Utama

Hina jata negara perbuatan sengaja hakiskan semangat patriotik

Alangkah malu negara bila rakyat jatuhkan maruah sendiri

BANGI, 6 Zulkaedah 1441H, Isnin – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menggesa orang ramai membuat laporan polis terhadap penerbit dan pengarang buku kontroversi, ‘Rebirth Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia’ kerana mempersenda serta menghina jata negara Malaysia. 

Presiden ISMA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, penerbit dan pengarang buku berkenaan layak dikenakan tindakan kerana mempermainkan atau sekurang-kurangnya bersubahat mempermainkan jata negara. 

Beliau percaya bahawa pelakuan itu telah melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963. 

“Oleh itu, laporan polis wajar dibuat dan tindakan perlu diambil. Apakah ini sesuatu yang tidak disengajakan atau hanya kebetulan?

“Saya lebih cenderung mengatakan ini adalah disengajakan kerana mustahil penerbit tidak tahu atau terlepas pandang,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Bahkan, Haji Aminuddin berkata, editor buku iaitu Kean Wong adalah aktivis tegas dalam memansuhkan Akta Hasutan dan telah berusaha rapat dengan kerajaan terdahulu untuk menjayakan agenda berkenaan. 

“Difahamkan juga buku ini sudah dijual di kedai-kedai buku di luar negara seperti Australia. 

“Alangkah malunya negara apabila jata negara dipermain-mainkan dan menjadi tatapan orang luar dengan bangganya,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sebuah buku bertajuk ‘Rebirth Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia’ kerana mempermainkan dan seolah-olah menghina jata negara pada kulit depan buku berkenaan. 

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu memaparkan logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai muka hadapan. 

Mengulas lanjut, Haji Aminuddin berkata, buku itu kini galak dipromosikan di kedai-kedai buku utama dalam negara walaupun sudah lama diterbitkan. 

“Saya tidak pasti mengapa baru sekarang buku ini dipromosikan dan tular. Saya harap agar rakyat dapat terus memerhati akan apa yang berlaku di sekeliling kita. 

“Tidak melayan atau berdiam diri hanya akan menyebabkan diri dan orang sekeliling hilang sensitiviti terhadap lambang-lambang negara yang secara sedikit menghakis semangat patriotik kita.

“Jika hari ini kita biarkan mereka permainkan jata negara, mana tahu esok lusa mereka berani permainkan pula jata diraja,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close