Berita Utama

Hina jata: Perbuatan jelek cuba rosakkan identiti negara

Perbuatan secara terang salah di sisi perundangan negara

BANGI, 7 Zulkaedah 1441H, Isnin – Pihak yang terbabit menerbitkan buku yang didakwa menghina jata negara sewajarnya dikenakan tindakan undang-undang.

Timbalan Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Ummah (PACU), Muhammad Shuib Norudin berkata, sekiranya mereka yang menghasilkan buku ini dengan niat menghina lambang rasmi negara, maka sikap itu sememangnya jelek dan biadab.

Katanya lagi, tindakan mereka bukan sahaja menghina jata negara sebagai lambang rasmi negara, malah menghina agama Islam sebagai agama Persekutuan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan perbuatan dilakukan untuk merosakkan identiti negara.

“Sejak beberapa hari ini kita dikejutkan dengan tersebarnya gambar sebuah buku yang dikatakan sebagai menghina jata negara kita. Buku yang bertajuk ‘Rebirth’ merupakan sebuah buku yang disunting oleh Kean Wong.

“Yang menjadi isunya ialah gambar yang digunakan di kulit buku itu seakan-akan mempamerkan jata negara yang telah diubah. Jata negara Malaysia merupakan lambang rasmi kerajaan Malaysia. Jata negara diwujudkan untuk melambangkan identiti negara iaitu sebagai sebuah negara Islam.

“Dalam peruntukan undang-undang Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 ada menyatakan larangan menggunakan lambang negara dengan kaedah yang tidak wajar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Shuib berkata, ini bukan kali pertama lambang negara dihina dan diperkecilkan.

“Kalau kita masih ingat isu Jalur Gemilang yang dikibarkan secara terbalik dan kibaran bendera dalam acara rasmi yang tidak cukup bucu bintangnya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, PACU menggesa rakyat sedar dan berazam untuk mempertahankan identiti negara bahkan wajib peka dengan tindak-tanduk mereka yang dianggap tidak suka pada identiti negara.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara, seharusnya kita wajib pastikan agenda merosakkan identiti negara tidak berlaku,” katanya.

Selepas menerima desakan serta laporan daripada ramai pihak berhubung isu berkenaan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengarahkan polis menyiasat segera dan mengambil tindakan perlu kerana perbuatan itu tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik.

Beliau berkata, adalah menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak yang menghina lambang Kerajaan Persekutuan Jata Negara, dan boleh disiasat mengikut Seksyen 3 (1) (a) Akta Lambang dan Nama (1963).

“Saya telah mengarahkan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan secepat mungkin. Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab dan tidak patriotik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close