Berita Utama

KDN arah PDRM siasat pihak hina jata negara: Hamzah

Kerajaan tak akan berkompromi atas tindakan tidak patriotik

BANGI, 7 Zulkaedah 1441H, Isnin – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mengubah suai lambang jata negara.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melakukan tindakan tidak patriotik dan bertanggungjawab itu.

“Seksyen 3 (1)(a) Akta Lambang dan Nama (1963) memperuntukkan bahawa adalah menjadi kesalahan bagi sesiapa yang meniru lambang yang serupa lambang kerajaan Persekutuan, Jata Negara.

“Saya telah arahkan PDRM untuk siasat dan ambil tindakan yang tegas dengan segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen berhubung sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambahkan bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close