Berita Utama

Kes Rosmah: Maszlee syukur pendedahan 2018 akhirnya terbukti

Harap lebih ramai perasuah, kleptokrat terima hukuman setimpal

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meluahkan rasa syukur kerana pendedahannya terhadap isu penyelewengan projek solar di Sarawak akhirnya terbukti hari ini.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata, pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan terhadap semua tiga tuduhan.

Rosmah yang juga isteri kepada Datuk Seri Najib Razak – bekas Perdana Menteri yang sedang dipenjarakan – didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Maszlee berkata, isu penyelewengan itu telah didedahkan dan dibawakan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis ketika berada di Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2018.

“Alhamdulillah, kebenaran akhirnya tertegak, keadilan akhirnya terlaksana. 

“Kezaliman mengambil hak anak-anak Malaysia di Sarawak yang bergelut dengan kepayahan demi menimba ilmu ini terbalas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut berharap lebih ramai pelaku rasuah dan kleptokrat akan menerima hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan mereka.

“Semoga ada sinar buat Malaysia yang lebih bersih. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button