Berita Utama

Lucut kerakyatan! Tiada maaf si penghina jata negara: Netizen

Buat apa nak simpan pengkhianat tidak setia kepada negara

BANGI, 7 Zulkaedah 1441H, Isnin – Layakkah orang yang tidak menghormati negara dan tidak sayang akan negaranya sendiri berada di dalam Malaysia?

Demikian persoalan dibangkitkan netizen susulan terdapat pihak yang telah menerbitkan dan mengedarkan sebuah buku didakwa menghina jata negara bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’.

Kesal dengan perbuatan itu, pengguna laman Facebook, Mazlina Harun berkata, kerakyatan mereka sepatutnya dilucutkan kerana sudah tidak setia kepada negara.

“Lucut kerakyatan je sebab dah tak setia kepada negara. Hukuman macam ini sahaja yang akan menakutkan mereka untuk tak mengulangi kesalahan macam ini,” katanya.

Senada dengan gesaan itu, pengguna laman Facebook, Muhammad Riduan berkata, kesemua mereka yang terbabit dalam penghasilan buku itu perlu dilucutkan kerakyatan.

“Nama-nama yang tercatat di hadapan kulit buku tersebut adalah nama-nama pengkhianat negara. Lucut sekali kerakyatan mereka,” tegasnya.

Nizam Abdullah pula berkata: “Tangkap sahaja semua yang terlibat. Buang kerakyatan. Tak layak memegang IC Malaysia.”

Dalam perkembangan terbaru, dilaporkan bahawa polis akan memanggil individu yang dikaitkan dengan penerbitan buku tersebut.

Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya sudah menerima maklumat berhubung penerbitan buku itu dan siasatan sedang dijalankan.

“Mereka yang terbabit dalam penghasilan buku itu termasuk pengarang, editor dan penerbit akan dipanggil membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 233, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Mengulas mengenai tindakan PDRM, pengguna laman Facebook, Hand Mohd Salleh mahu tindakan diambil sesegera mungkin.

“Jangan panggil je. Rakyat naik muak bila pembuat onar negara dipanggil ke Bukit Aman tapi tiada tindakan susulan untuk menghukum. Pembuat onar pun tambah berani,” katanya.

Sementara Sharifah Nurfarah pula menggesa, tindakan tegas diambil terhadap pihak yang didapati menghina jata negara.

“Ambil tindakan tegas. Jangan lepaskan begitu. Nanti orang boleh buat lagi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button