Berita UtamaPendapat

Mampukah UMNO tentukan hala tuju MCA, MIC?

Bagaimana tahaluf siasi beri manfaat semua pihak dalam BN?

1. BEBERAPA pandangan dilontarkan dari pelbagai pihak berkenaan tindak tanduk MCA dan sesekali berkenaan MIC berkaitan isu-isu pendirian politik tanah air. Saya tidak berniat untuk memaparkannya di sini.

2. Apa yang ingin saya sampaikan hanya berkenaan isu tahaluf siasi (persepakatan politik) antara muslim dan non-muslim. Moga ada manfaatnya untuk ahli politik (khususnya UMNO) jika mereka sudi mendengar. Saya akan cuba menulisnya seringkas mungkin.

3. Tahaluf siasi bermaksud persepakatan politik yang membawa erti timbal balik manfaat antara dua pihak.

Ulama bila membincangkan tajuk ini akan membincangkan dua isu sekali gus; اعانة (menolong) dan استعانة (meminta tolong).

Dengan erti kata mudahnya satu pihak meminta tolong dari satu pihak untuk mencapai matlamat tertentu dan di masa yang sama, dia akan menolong pihak tersebut untuk mencapai matlamat tertentu pihak tersebut pula.

4. Dalam tahaluf siasi, kedua pihak akan mendapat manfaat tertentu dalam apa juga bentuk. Kalau tahaluf dalam Pakatan Harapan (PH), maknanya DAP akan dapat manfaat tertentu dan Amanah dan PKR juga akan dapat manfaat tertentu.

Kalau dalam Barisan Naional (BN), UMNO akan dapat manfaat tertentu dan MCA, MIC akan dapat manfat tertentu. Mustahil berlaku tahaluf siasi tanpa manfaat.

5. Tahaluf siasi hukumnya diperselisihkan oleh ulama. Ada yang mengharuskan dan ada yang mengharamkan. Boleh rujuk perinciannya di dalam mana-mana kitab fiqh.

6. Tetapi, dalam perselisihan itu, ada persepakatan di antara ulama terhadap batas yang dibenarkan di dalam tahaluf siasi.

Batas inilah yang sebenarnya menjadi kerunsingan pihak yang mengkritik tindakan MCA dan MIC tersebut. Amatlah baik dan murni jika batas ini dijaga oleh UMNO, sekiranya UMNO tidak mahu mengulangi kesilapan ahli politik Muslim di dalam PH.

7. Batas paling penting adalah berkenaan apakah syarat tahaluf siasi itu? Syarat apakah yang dikenakan oleh non-muslim terhadap muslim yang kemudiannya akan mengikat mereka?

Apa juga syarat yang haram dari segi syarak, maka menandatanganinya adalah haram dan usaha memenuhinya juga haram.

Dari situ difahami sebagai contoh, tahaluf yang membawa kepada hilangnya Islam dari negara adalah haram.

Halal dan haram dalam isu kenegaraan adalah ilmu fardhu ain kepada ahli politik Islam. Ilmu fardhu ain bukan setakat istinjak dan solat sahaja.

Tetapi apa juga isu yang diperlukan oleh seorang muslim di dalam bidangnya adalah ilmu fardhu ain kepadanya.

Sebagaimana ahli perniagaan wajib mempelajari hukum riba, maka begitulah juga ahli politik wajib mempelajari isu kenegaraan.

Saya suka jika ahli politik di dalam UMNO mendalami dengan segala perinciannya segala isu kenegaraan menurut fiqh Islam.

Sama ada pada peringkat individu, atau paling kurang pada peringkat organisasi. Tahu batas apa Allah mahu dan apa Allah tak mahu dalam isu kuasa. Sekadar nasihat dari aktivis ngo kecil.

8. Batas seterusnya adalah sejauh mana dominasi muslim di dalam tahaluf tersebut?

Ulama  menggunakan istilah yang pelbagai di dalam menggambarkan dominasi sebagai syarat kepada tahaluf siasi.

Ada yang menulis: ‘hendaklah orang Islam berada di saf hadapan’, ‘hendaklah hukum Islam itu yang ghalib (menang)’, ‘hendaklah bagi orang Islam itu ada syaukah (kuasa)’ dan lain-lain ibarat yang diungkapkan oleh ulama Islam.

Dalam PH, DAP lah yang dominan. Walau pun ahli politik muslim di dalam PH menafikannya, tapi pemerhati dengan jelas boleh melihat masa depan PH ditentukan oleh DAP.

Bagaimana pula dominasi UMNO terhadap rakannya MCA dan MIC? Soalan lontaran yang saya serahkan kepada UMNO untuk jawab.

Apa pun jawapannya, ketahuilah bahawa sebahagian rakyat sudah bimbang UMNO tidak mampu menentukan hala tuju MCA dan MIC. Fikirlah tentang kebimbangan itu walau sejenak.

9. Kita ada sejarah yang panjang dan berulang-ulang di banyak tempat …. setiap tahaluf antara muslim dan non-muslim yang tidak disertai dengan matlamat yang betul dan jika tidak disertai dengan dominasi muslim, ianya berakhir dengan kehancuran negara.

Lihatlah sejarah Andalus, Melaka, Singapura dan 2/3 dunia yang dulunya adalah negara Islam.

Timbalan Presiden ISMA
Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni 

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button