Berita Utama

Pecat Speaker: PH buat boleh, bila PN langgar ‘rule of law’

Secara moral Speaker perlu undur sendiri kerana lantikan PH

BANGI, 6 Zulkaedah 1441H, Isnin – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yakin Dewan Rakyat akan menjadi ‘sarkas’ apabila usul menamatkan lantikan Speaker, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof dan Timbalan Speakernya, Nga Kor Ming dibentangkan.

Beliau berkata, situasinya sama ketika tribunal pemecatan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas diwujudkan dulu suatu ketika dahulu.

“Ada dua persoalan mengenai usul itu. Pertama, adakah mereka enggan meletak jawatan secara sukarela. Kedua, apakah wujud konspirasi untuk mensabotaj Parlimen?

“Memang pelik, kedua-duanya masih Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Rakyat. Secara moral mereka patut letak jawatan kerana mereka lantikan Pakatan Harapan (PH),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Mohd Puad turut membidas dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bahawa, tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin memfailkan usul di Dewan Rakyat untuk menamatkan lantikan Speaker dan Timbalannya tidak mengikut ‘rule of law’.

Beliau mengingatkan pada minggu pertama PH memerintah, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin (Presiden Mahkamah Rayuan) dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali (bekas Peguam Negara) diarah berhenti segera, manakala bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berhenti sebelum diarah.

“Ketika itu ramai pihak mempersoalkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Daim Zainuddin memanggil Tun Raus mengadap dan diarahkan berhenti. Tun Raus Ketua Hakim Negara. Beliau boleh menolak untuk jumpa.

“Pengamal undang undang Ram Karpal Singh menganggap tindakan Tun M dan Tun Daim itu melanggar ‘rule of law’ dan pengasingan kuasa. Eksekutif tidak boleh mencampuri urusan Kehakiman.

“Pada beliau Tun Daim khususnya sudah melampaui batas. Perlembagaan Malaysia cukup jelas menyatakan bagaimana Ketua Hakim Negara boleh diberhentikan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, Artikel 125(3) Perlembagaan Negara menyatakan sebuah tribunal mesti dibentuk untuk memberhentikan Ketua Hakim Negara.

“Justeru, Liew Vui Keong sepatutnya jangan hanya pandai bercakap soal doktrin pengasingan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif (Parlimen),” sinisnya.

Sebelum ini Vui Keong mendakwa, langkah Muhyiddin menukar speaker Dewan Rakyat dan timbalannya bertujuan mengelakkan usul tidak percaya terhadapnya sebagai Perdana Menteri pada bulan depan.

Ahli Parlimen Batu Sapi itu menyifatkan usul Muhyiddin itu tidak berperlembagaan.

Katanya, pemasaan usul yang pertama kali berlaku itu penuh dengan campur tangan eksekutif dalam hal ehwal cabang perundangan negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close