Berita Utama

Penghina jata negara tak layak bergelar rakyat Malaysia

Perbuatan khianati perjuangan nenek moyang dapatkan kedaulatan

BANGI, 7 Zulkaedah 1441H, Isnin – Penghinaan terhadap lambang dan identiti negara sekali lagi ditimbulkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Jika sebelum ini, negara digemparkan dengan isu bendera Malaysia dikibarkan secara terbalik, bintang pada Jalur Gemilang diubah menjadi lima bucu termasuk lagu Negaraku digubah ke dalam bahasa Cina.

Kini, jata negara pula dipermainkan apabila diubah suai dan dijadikan sebagai kulit muka depan sebuah buku bertajuk ‘Rebirth” Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia’ sehingga mencetuskan rasa marah rakyat di negara ini.

Buku yang disunting oleh penulis, Kean Wong itu mempamerkan logo mirip jata negara yang telah diubah suai turut dikongsi pautan di laman sosial Facebook sebuah syarikat buku, Ilham Books.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, kumpulan yang menghina lambang rasmi negara tidak layak dianggap sebagai warganegara.

“Mereka tidak menghormati perjuangan dan usaha datuk nenek dahulu dalam mendapatkan kedaulatan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, meskipun masih tidak memahami tujuan sebenar kumpulan yang memaparkan gambar mirip jata negara pada buku berkenaan, rakyat perlu dididik untuk menghormati simbol rasmi negara.

Katanya, ia sebagai langkah bagi membina kesetiaan dan penghormatan ke atas tanah air.

“Janganlah bersikap seperti segelintir kita yang merendahkan simbol negara, mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik bahkan merendahkan tulisan Jawi yang menjadi identiti negara,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya pelukis, penulis atau penerbit buku itu sememangnya berniat untuk menghina jata negara, maka tindakan perlu diambil ke atas mereka.

Katanya, kumpulan berkenaan bukan sahaja menghina jata negara, bahkan mengubah simbol agama Islam, yang dipaterikan dalam lambang rasmi negara ini.

“Jata negara adalah lambang rasmi kerajaan Malaysia, yang telah diperkenankan dan diwartakan oleh raja-raja Melayu pada 30 Mei 1952.

“Dalam peruntukan undang-undang turut menyebutkan tentang larangan menggunakan lambang negara dengan kaedah yang tidak wajar dalam Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button