Berita Utama

Perundangan tak ‘menakutkan’ punca simbol negara terus diserang

Natijah kepada hukuman berat, setimpal untuk mendidik masyarakat

BANGI, 6 Zulkaedah 1441H, Isnin – Hukuman berat dan setimpal perlu dikenakan terhadap pihak yang mencetuskan provokasi tidak sihat dengan menghina jata negara.

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, bukan kali pertama tindakan bersifat tidak patriotik menghina simbol kedaulatan berlaku di negara ini.

Insiden itu dapat dilihat pada tahun 2007, apabila didendangkan nyanyian lagu ‘Negarakuku’ dengan sinisnya menghina lagu kebangsaan, namun tiada hukuman tegas diambil, katanya.

“Tahun 2019 pula dihiasi dengan ‘insiden’ bendera Malaysia berkibar secara terbalik di premis-premis perniagaan, di rumah-rumah kediaman tertentu. Malah dalam kejohanan sukan pun boleh berlaku kesilapan bendera Malaysia yang tidak boleh dimaafkan. Namun, tiada hukuman tegas.

“Maka tidak terkejut, jika insiden menghina simbol negara berlaku lagi. Kali ini lakaran jata negara dilakarkan secara begitu sinis dan hina sekali pada kulit buku dan dijual kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hazwan berkata, mana mungkin dengan ‘melepaskan’, hukuman satu bulan kerja sosial, denda wang yang boleh dibayar dengan mudah mampu mendidik dan menghalang perbuatan kesalahan itu daripada berulang sekali lagi.

“Undang-undang bertujuan untuk mendidik. Undang-undang yang menatijahkan hukuman setimpal dan berat pula mampu mendidik masyarakat seterusnya menghalang perkara yang memudaratkan. Dalam erti kata lain, undang-undang juga harus mempunyai sifat ‘menakutkan’.

“Namun sekiranya undang-undang itu pada akhirnya hanya menatijahkan ‘siasatan’ dan ‘dilepaskan’, maka tujuan akhir undang-undang itu tidak akan tercapai,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial sebuah buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan yang mendapat kritikan ramai pihak.

Polis memaklumkan menerima 10 laporan polis yang dibuat pelbagai pihak berhubung buku itu yang didakwa menghina jata negara.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan itu, pihaknya membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Katanya, beberapa individu termasuk pengarang, penerbit dan mereka yang mempunyai kaitan atau terbabit dalam penghasilan buku itu akan dipanggil ke Bukit Aman untuk diambil keterangan serta membantu siasatan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button