Berita Utama

Kerajaan perlu perjelas kenapa taraf air naik mendadak

Dasar ekonomi Madani, suka naikkan cukai dan kurangkan subsidi rakyat

BANGI, 5 Rejab 1445H, Rabu – Kerajaan perlu menjelaskan dan memberi justifikasi terhadap langkah kenaikan mendadak tarif air di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu.

Mengkritik pelarasan tarif baharu itu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berkata, kenaikan tarif air bagi kategori domestik akan mendorong kepada peningkatan harga barangan dan perkhidmatan.

Ini memandangkan air adalah sebahagian daripada keperluan asas rakyat, maka pelarasan baharu ini berkemungkinan memberi impak lain kepada kos sara hidup rakyat, katanya.

“Rakyat mahu kerajaan uruskan ekonomi dengan baik dan tangani kos sara hidup, bukannya naikkan harga keperluan asas, naikkan cukai dan naikkan tarif.

“Kerajaan hari ini asyik suka naikkan cukai, kurangkan subsidi, naikkan harga dan minta rakyat isi data peribadi.

“Kalau inilah dasar ekonomi Madani, saya tak tahu apa nak kata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pelarasan tarif baharu air bagi kategori domestik di Semenanjung dan Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan kenaikan purata sebanyak 22 sen bagi setiap meter padu, berkuatkuasa 1 Februari depan.

Pelarasan ini dijangka membabitkan kira-kira 6.9 juta pengguna kategori domestik atau mewakili 86.6 peratus daripada 7.9 juta pemegang akaun.

Kenaikan 22 sen itu adalah purata jumlah kenaikan bagi setiap 1,000 liter air yang digunakan.

Tarif baharu air itu dijangka membabitkan caj bil naik dalam julat antara RM1.60 hingga RM8 bagi setiap kediaman atau lima hingga 27 sen sehari bagi penggunaan isi rumah sebanyak 20 meter padu sebulan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button