Berita Utama

Sultan Johor prihatin, sanggup biaya baik pulih wad HSA terbakar

Baginda titahkan kerja pembaikan perlu dimulakan segera

BANGI, 6 Zulkaedah 1441H, Isnin – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membiayai kos membaik pulih Wad Perubatan Perempuan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru yang terbakar petang, semalam. 

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan melantik kontraktor bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan segera, di mana kos ditanggung sepenuhnya oleh Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ). 

“Saya mahukan Pengarah Jabatan Kerja Raya, Pengarah Kesihatan Johor serta Pengarah Bomba Johor bersama membincangkan segera pelan pembaikan yang akan dilakukan oleh kontraktor. 

“Selalunya kos pembaikan jika dilakukan kerajaan akan mengambil sedikit masa kerana terdapat sistem yang perlu dilalui dan saya tidak salahkan kerajaan, oleh demikian saya mahukan kerja-kerja pembaikan dilakukan segera,” titah baginda kepada Royal Press Office, hari ini. 

Titah Sultan Ibrahim, baginda sentiasa mengutamakan rakyat dan peranan YSIJ juga amat besar kerana sentiasa terbabit membantu orang ramai dalam pelbagai perkara. 

Dalam kejadian 3 petang semalam, 24 pesakit di Wad Perempuan 1, HSA dipindahkan selepas berlaku kebakaran dalam kompleks berkenaan. 

Bagaimanapun, kebakaran berkenaan tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button