Berita Utama

JPN nafi 54,000 warga China diberi warganegara sebagai pengundi DAP

Kenyataan Saifuddin dimanipulasi, sebenarnya jumlah permohonan dari 2017

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menafikan dakwaan sejumlah 54,000 warga China dalam proses diberikan kewarganegaraan sebagai pengundi DAP.

JPN dalam kenyataan menjelaskan, sebanyak 54,000 permohonan kewarganegaraan yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Safution Ismail sebelum ini, adalah merujuk jumlah permohonan dari tahun 2017 sehingga 2022.

Katanya, jumlah itu meliputi pelbagai permohonan di bawah peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan dan daripada pelbagai latar belakang keturunan serta negara asal.

“Berdasarkan rekod JPN dari 2019 hingga 31 Julai 2023 lalu, hanya 45 individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia secara keseluruhan (Perkara 19 (1) mengikut negara asal),” kata jabatan itu.

Penjelasan JPN itu dibuat sebagai merujuk kepada isu tular di media sosial yang memetik kenyataan Saifuddin ketika sidang media sempena lawatan kerja rasmi ke JPN pada 9 Januari lalu.

“JPN ingin menjelaskan bahawa petikan yang ditularkan tersebut telah dimanipulasi dari sebahagian kenyataan penuh YB MDN (Menteri Dalam Negeri) di sidang media ketika itu.

“Intipati kenyataan YB MDN ketika itu adalah memaklumkan antara komitmen beliau sebagai MDN yang baru dilantik adalah untuk membuat keputusan (lulus/gagal) terhadap permohonan-permohonan kewarganegaraan yang telah tertunggak sekian lama tanpa dibuat sebarang keputusan,” katanya.

Menurut JPN, Saifuddin ketika itu juga turut menyasarkan 10,000 permohonan dapat dibuat keputusan pada tahun ini.

“Komitmen ini adalah tindakan proaktif oleh KDN kerana berpandangan keperluan membuat keputusan dalam tempoh yang wajar, antara lain bertujuan memberi keadilan kepada pemohon yang telah memohon sekian lama yang meliputi permohonan di bawah Perkara 15(2), 15A dan 19(1).

“Sekiranya permohonan mereka ditolak, mereka dapat mencari alternatif lain dalam meneruskan kehidupan di negara ini ataupun di negara lain,” katanya.

JPN turut menegaskan bahawa permohonan kewarganegaraan adalah sentiasa tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang berkuat kuasa.

Katanya, permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah individu itu memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta perundangan berkaitan yang berkuat kuasa dalam isu pendaftaran perkahwinan, pengangkatan, kesahtarafan anak serta peraturan imigresen.

“JPN berharap dengan ini dapat menjelaskan kekeliruan dan keresahan orang ramai. Penganugerahan taraf kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan Malaysia mereka yang benar-benar layak dan memenuhi syarat.

“Proses yang dilaksanakan oleh JPN adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan selari dengan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara terjamin,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button