Berita Utama

Hina Jata Negara: Pemuda ISMA gerak jentera lapor polis

Maaf tak diterima kerana penerbit sengaja cetus provokasi

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) akan menggerakkan jentera di seluruh negara bagi membuat laporan polis terhadap pihak yang  menerbitkan buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Ketua Penerangannya, Muslim Abdullah Zaik menegaskan, Pemuda ISMA akan secara berterusan membuat laporan terhadap mana-mana percubaan provokasi yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

“Kami akan mengikut secara rapat kes ini sehingga pesalah dihukum dengan setimpal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terbaru, penerbit buku yang berdepan dengan kontroversi dikatakan memohon maaf berhubung kulit buku yang didakwa menghina Jata Negara.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu portal berita liberal, Malaysiakini bahawa pihaknya tiada niat untuk menghina lambang negara.

“Satu, kami memang tak sengaja mahu hina atau apa-apa. Kedua, walaupun kami tak sengaja, kalau sudah buat sesiapa rasa kurang senang, ada menyinggung perasaan mereka, itu saya minta maaf. Pada masa depan kita akan lebih sensitif,” katanya.

Mengulas perkara itu, Muslim berkata, Pemuda ISMA menuntut pihak yang terbabit dihukum dan permohonan maaf yang dinyatakan pihak penerbitan buku tidak diterima kerana mereka kerana dilihat sengaja menimbulkan provokasi. 

“Bahkan, pihak yang terbabit dengan penghasilan buku itu juga telah melanggar Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan tidak Wajar) 1963. 

“Mesej-mesej dan simbol penghinaan seperti mengubah lagu kebangsaan, bendera terbalik dan pengubahsuaian jata negara perlulah diambil serius oleh pihak berkuasa. 

“Ia seakan-akan semboyan pemberontakan ke atas negara Malaysia yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Beraja,” katanya.

Muslim berkata, pihaknya bimbang gerakan yang bersifat subversif ini bakal mengubah identiti Malaysia sebagai sebuah negara beridentitikan Melayu Islam yang pada asalnya dipimpin Raja Berperlembagaan kepada Negara Republik, Liberal Tanpa Agama.

Justeru, Pemuda ISMA berharap pihak kerajaan dapat bertegas dan memulakan siasatan dengan segera bagi mengelakkan hal sama berulang.

“Ia sebagai pengajaran kepada mana-mana pihak yang sedang merancang melakukan provokasi yang mampu menggugat kestabilan negara,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close