Berita Utama

Hina simbol kedaulatan negara terus berlaku, puncanya tiada hukuman tegas!

Pencetus provokasi takkan takut selagi tiada hukuman 'menakutkan'

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Sudah tiba masanya undang-undang bersifat ‘menakutkan’ dengan hukuman setimpal bagi tujuan mendidik masyarakat diwujudkan, bagi menghalang perbuatan menghina kedaulatan negara berulang. 

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad berkata, tujuan akhir undang-undang tidak akan tercapai sekiranya hanya menatijahkan kepada ‘siasatan’ dan ‘dilepaskan’.

Beliau berkata, tindakan bersifat tidak patriotik menghina simbol kedaulatan negara bukanlah kali pertama berlaku, bahkan berulang kali termasuk perbuatan mempermainkan lagu kebangsaan pada 2007 yang didendang dengan ‘Negarakuku’. 

“Tahun 2019 dihiasi dengan ‘insiden’ bendera Malaysia berkibar secara terbalik di premis-premis perniagaan, di rumah-rumah kediaman tertentu. 

“Malah dalam kejohanan sukan pun boleh berlaku kesilapan bendera Malaysia yang tidak boleh dimaafkan. Namun, tiada hukuman tegas,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata demikian mengulas mengenai buku kontroversi suntingan penulis, Kean Wong yang tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan. 

Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis menyiasat, penerbitnya tampil memohon maaf dan mendakwa kononnya tiada niat untuk menghina lambang negara itu. 

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit. 

Tidak terkejut dengan isu penghinaan Jata Negara itu, Hazwan berkata, insiden seumpama akan berulang selagi mana tiada hukuman setimpal dan berat ke atas mereka yang mencetuskan provokasi tidak sihat. 

Katanya, apabila tercetus isu seperti ini, aktivis NGO dan parti politik bergegas membuat laporan polis, sementara menteri pula lantang mengeluarkan kenyataan penghina simbol negara akan disiasat serta bakal dihukum. 

“Namun bagi saya, kita mahu undang-undang menatijahkan sesuatu yang setimpal dan berat kepada mereka yang melakukan kesalahan yang mencetuskan provokasi tidak sihat ini. 

“Kerana sifat undang-undang itu adalah mendidik. Mana mungkin dengan melepaskan, hukuman 1 bulan kerja sosial, denda wang yang boleh dibayar dengan mudah ini mampu untuk mendidik dan menghalang perbuatan kesalahan ini daripada berulang sekali lagi? 

“Berapa banyak lagi siri kebiadaban seperti ini yang harus kita hadap?,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close