Berita Utama

Jangan terima maaf penghina Jata Negara, mereka mahu lebur identiti Malaysia

Persatuan yang racun semangat patriotisme mesti diharamkan

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Kerajaan Malaysia digesa memperhalusi sebarang kelompongan yang membuka ruang kepada tindakan biadab pihak tertentu menghina dan mempermainkan lambang identiti negara. 

Kebebasan bersuara yang berikan tidak bermakna rakyat atau sesiapa sahaja boleh bersikap melampau memperkotak-katikkan simbol kedaulatan yang sejak sekian lama dipertahankan. 

Jika sebelum ini isu bendera Malaysia dipasang terbalik, bendera lima bintang dan lain-lain insiden insiden ‘senyap’ selepas permohonan maaf, kali ini isu penghinaan Jata Negara tidak lagi boleh didiamkan. 

Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA),  Dr Suriani Sudi berkata, tindakan penerbit dan penulis buku berkenaan mengubahsuai gambar seolah-olah Jata Persekutuan dilihat tiada tanda setia serta hormat kepada negara. 

Beliau menyifatkan penerbitan muka hadapan buku Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia sebagai cubaan untuk meleburkan identiti Malaysia. 

“Walau apa pun alasan, mereka nampaknya melakukan dengan niat mahu mempermain-mainkan dan merendahkan lambang identiti negara. 

“Malah, menggantikannya dengan gambaran-gambaran serta imej yang jelek seolah-olah mengejek maruah negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Sebelum ini, buku suntingan penulis, Kean Wong itu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan. 

Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis menyiasat, penerbitnya tampil memohon maaf dan mendakwa kononnya tiada niat untuk menghina lambang negara itu. 

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit. 

Enggan menerima permohonan maaf berkenaan, Dr Suriani menegaskan bahawa perbuatan pihak penerbitan buku terbabit wajar dikenakan hukuman berat dan setimpal. 

Justeru, beliau meminta kerajaan memperhalusi kembali ruang yang membawa kepada tindakan biadab itu, sama ada melalui kebebasan bersuara tanpa batas, sekolah vernakular atau penyebaran ideologi liberal yang tiada pantauan. 

“Lubuk dan persatuan yang meracun semangat patriotisme negara juga perlu diharamkan dan dikawal selia dengan lebih ketat. 

“Semua ini perlu diperhalusi dan diberikan rawatan yang sepatutnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close