Berita Utama

Kita tentang politik wang!

Maruah tak patut digadai dengan wang dari tangan ahli politik

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Sudah sampai masanya pengundi menentang politik wang habis-habisan, tegas Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA, Hazwan Mohamad.

Beliau menyarankan Akta Dana Politik digubal segera untuk memberi platform yang lebih adil kepada semua pihak selain menyekat dana asing dari masuk ke negara ini bagi menjamin soal kedaulatan negara.

“Bukan itu sahaja Akta Pilihan Raya sedia ada juga perlu penguatkuasaan yang lebih tegas. Siasatan terperinci dan telus amat perlu untuk menolak budaya politik wang ketika pilihan raya.

“Pada akhirnya saya sedar bahawa harapan di atas ditujukan kepada sang politikus juga. Amat tipis harapannya untuk mereka melaksanakan semua ini.

“Tetapi sekurang-kurangnya, moga tulisan ini dapat menyedarkan masyarakat dan pengundi, bahawa maruah dan harga diri tidak harus digadai dengan wang dari tangan ahli politik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hazwan berkata, hari demi hari kita semakin sedar bahawa sistem demokrasi melahirkan banyak kerosakan.

Katanya, negara yang amat bangga dengan demokrasi malah mempromosi demokrasi di negara-negara lain pun kini akhirnya terpaksa menelan perkembangan pahit natijah dari sistem yang mereka banggakan.

“Ada satu episod dalam politik Malaysia yang amat pahit untuk ditelan. Politik wang. Wang yang ditabur untuk mendapat kemenangan dalam pertandingan merebut kuasa.

“Politik wang, yang kaya akan terus kekal berkuasa,” katanya yang memaklumkan pernah diberitahu ada parti politik negara membelanjakan ratusan ribu untuk jawatan utama dalam parti ketika pemilihan parti.

Hazwan menyifatkan, ‘duit turun dari langit’ untuk ahli yang menyokong senarai yang diedarkan bersama ini adalah senario biasa tanpa rasa dosa.

Beliau tidak menolak situasi sama turut berlaku dalam pilihan raya yang mana parti yang kaya boleh menang.

“Satu kawasan DUN itu pernah saya diberitahu ‘kos sebenar’ yang dibelanjakan oleh parti mencecah RM3 juta ringgit. Manakala untuk kawasan calon Parlimen menelan angka 5 juta ringgit.

“Masyarakat dididik sedemikian rupa sejak sekian lama. Siapa paling banyak dilihat memberi wang atau material akan diberi undi. Natijahnya, usaha untuk mengekang budaya korupsi ini menemui kegagalan.

“Dari mana datang duit-duit parti yang ditabur ini? Jika parti itu Sang Penguasa Kerajaan, maka banyak projek-projek perlu disalur kepada ahli-ahli parti. Jika berada di luar kerajaan, alternatif mencari wang ialah dengan melobi pihak-pihak tertentu dari luar negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close