Artikel Khas

‘Hairan sungguh, orang macam ini pun boleh jadi menteri’

Fikirlah dulu sebelum bercakap, jangan mulut dahului akal

“MABUK sikit-sikit tidak apa katanya, suka hati akulah nak menari, aku bukan Islam”.  

Apa punya menteri!

Mabuk tetap mabuk sama ada mabuk banyak atau mabuk sikit. Otak telah dipengaruhi arak. Tidak sedar diri. Tetap sudah tidak rasional, tindakan di luar kawalan. Jika memandu, tidak mustahil berlaku kemalangan.

Inikah cara seorang ,menteri bercakap? Macam budak tak sekolah. Hairan sungguh, orang macam ini pun boleh jadi menteri.

Ingin saya bertanya sejak bila ada agama yang membenarkan minum arak sampai mabuk. Sepanjang yang saya tahu, semua agama mengharamkan arak.

Sama juga menteri yang sama bercakap, kenapa kerajaan negeri Kedah tidak benarkan pelancong berbikini di Langkawi. Kerajaan Kedah nafikan. Sehingga ada ahli Parlimen PN berkata, datang ke Langkawi tidak berpakaian pun boleh. Akhirnya, kenyataan makan tuan. Saya tak tahu nak cakap apa dah. Dua-dua belah pihak sudah macam sama. Saya tidak kata sama.

Saya ingin bertanya, lagi sejak bila berpakaian mencolok mata seperti berbikini dibenarkan oleh agama-agama dunia ini? Sepanjang yang saya tahu, tidak agama yang membenarkan pengikutnya berpakaian mencolok mata. Buatlah garis panduan. Kita orang timur, orang yang ada agama.

Jadi, bukan menjadi hak bukan Islam yang ada agama untuk mengatakan itu hak mereka. Sedangkan agama mereka sendiri pun melarang.

Bukan menjadi hak bukan Islam minum arak sebab agama mereka pun sendiri menentang arak. Tidak timbul arak itu hak bukan Islam. Begitu juga pakaian mencolok mata.

Jadi, arak ini amalan agama mana, ajaran mana? Dalam kata lain, arak hanya hak asasi yang dituntut oleh manusia jahil walaupun ia bertentangan dengan agama mereka sendiri.

Ini akibatnya apabila kita mendapat menteri dan pemimpin yang jahil. Malangnya, rakan sejawatan, sepakatan tidak mahu menegur. Mereka berdiam diri, seolah-olah mengiyakan. Apa nak jadi dengan negara Malaysia? Makin lama, semakin tidak matang. Perbahasan di Parlimen tidak nampak nilai intelektual.

Justeru, saya merayu kepada semua ahli Parlimen, terutama yang bertaraf menteri. Fikirlah dulu sebelum bercakap. Jangan mulut mendahului akal. Biar akal mendahului mulut. Fikir dahulu sebelum berkata. 

Ingat amaran Allah SWT

“Mereka sama sekali tidak mempunyai pengetahuan tentang hal itu, begitu pula nenek moyang mereka. Alangkah jeleknya kata-kata yang keluar dari mulut mereka; mereka hanya mengatakan (sesuatu) kebohongan belaka” (QS. al-Kahfi : 5).

Sebenarnya, kata-kata yang keluar dari mulut adalah cerminan karakter seseorang. Jika mulut yang selalu bertasbih, maka akan keluar kata-kata berkesan. Tapi, bila mulut yang selalu berbohong dan memfitnah, maka kebohongan dan fitnah pula itu yang akan keluar.

Kata-kata yang dikeluarkan melalui mulut ibarat muntah. Semua yang keluar akan memperlihatkan jenis dan kualiti makanan yang dimakan. Kebenaran hanya keluar dari mulut yang benar dan diterima. Manakala, kesalahan hanya keluar dari mulut yang salah.

Justeru, mulut ini menunjukkan kualiti akal yang dimiliki. Mulut tanpa kualiti akal, bagai seekor burung kakak tua. Kakak tua berkata untuk menarik simpati yang bertujuan menaikkan nilai jual dirinya semata. Padahal, burung kakak tua tidak faham sedikit pun apa yang diperkatakan, apa lagi untuk mengotakan apa yang dikatakan.

Dalam kata lain, kualiti akal menunjukkan tingkat IQ seseorang. Beza antara manusia dengan haiwan adalah, IQ. Sepatutnya manusia berfikir dahulu sebelum bertindak. Bukan seperti haiwan, bertindak dahulu, baharu berkata. Apa erti IQ yang ada pada manusia, jika cara dia bercakap seperti haiwan.

Dalam dunia Artificial Intelligent (AI) hari ini, sepatutnya manusia yang berakal, mempunyai IQ, perlu berfikir sebelum berkata supaya tidak menyinggung, apatah lagi memfitnah orang lain.

Nasihat, saya kepada mereka bergelar menteri dan wakil rakyat, bercakaplah menggunakan akal. Biar akal mendahului mulut. Saranan saya, pertama, gunakan mulut dengan betul, fikir dahulu sebelum berkata.

Kedua, betulkan niat. Bertekad untuk mencari kebenaran dalam hidup, bukan untuk mempamerkan kehebatan diri, kebaikan diri dan mengharap simpati. Akal yang sihat akan membuahkan kata-kata yang membawa kebaikan. Berbeza dengan akal yang dijangkiti penyakit, berasa ujub pada diri.

Ketiga, gunakan mulut dan akal untuk menyampaikan kebenaran dengan bijaksana. Percayalah, bila hati dan akal terpandu, akan menjadi mutiara ikutan rakyat. Namun, apabila hati dan akal telah terkunci dari hidayahNya, maka rosaklah orang itu dan pengikutnya yang membuta tuli.

Keempat, jangan menganggap hanya diri sendiri paling benar, mulia dan berjasa. Orang lain ada yang hebat, tetapi mereka tidak bercerita. Justeru, gunakan mulut berpandu akal. Hina sungguh kita jika mulut mendahului akal dan hati.

Akhirnya, pilihlah kata-kata dengan bijak, mengikut akal dan hati. Jangan rendahkan martabat kita dengan haiwan. Jangan jadi burung kakak tua. Kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita katakan.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button