Berita Utama

MCA desak DAP calonkan Kit Siang TPM ke-2 ganti Mukhriz

Sikap bodek DAP, PAN isu calon PM sebabkan Tun M serba salah

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Parti berasaskan kaum Cina, MCA mendesak DAP mencalonkan pemimpin veterannya, Lim Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri ke-2 menggantikan calon asal, Datuk Seri Mukhriz Mahathir – yang dikaitkan dengan amalan nepotisma. 

Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng berkata, dengan kekuatan 42 kerusi Parlimen yang dimenangi DAP, parti itu perlu berani mencalonkan Kit Siang, apatah lagi apabila bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad berasa serba salah dengan pencalonan Mukhriz.

Justeru, Teik Cheng mengingatkan DAP – parti tamak haloba – supaya berhenti memberi tumpuan sepenuhnya ‘membodek’ Dr Mahathir, sebaliknya mempunyai pendirian dan pendapat sendiri dalam pemilihan calon Perdana Menteri. 

“Sejak 509 (PRU 2018) sehingga hari ini, PH masih menghadapi masalah pemilihan calon PM, DAP secara keseluruhannya sudah menjadi pasukan Mahathir. 

“Mereka bukan sahaja terima segala cadangan tidak munasabah daripada gabungan Mahathir-Anwar, sehinggalah Shafie-Anwar-Mukhriz, DAP tidak teragak-agak dalam memberi sokongan penuh. 

“Terkini, Mahathir mendedahkan – dalam pemilihan gabungan Shafie, Anwar dan Mukhriz yang membolehkan anak beliau mengambil alih kelak – cadangan itu datangnya dari wakil DAP, Lim Guan Eng dan wakil Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu. Ini membuatkan Tun Mahathir berasa serba salah bila dituduh mengamalkan nepotisma,” katanya dipetik dari Facebooknya, semalam. 

Teik Cheng secara sinis berkata, sikap ‘membodek’ parti rasis dan cauvinis telah membuatkan Dr Mahathir menjadi serba salah dengan gabungan pemilihan itu. 

“Memandangkan pencalonan Mukhriz sebagai TPM ke-2 oleh dua parti ini (DAP dan PAN) telah menyebabkan Mahathir serba salah, kenapa tidak awal-awal lagi menolak pencalonan itu? Takkanlah kedua parti ini akur pada kata-kata Dr Mahathir?

“Kami menggesa DAP beranikan diri, jangan biarkan Dr Mahathir terus berasa serba salah. Dengan kekuatan 42 kerusi Parlimen, calonkan Lim Kit Siang sebagai TPM ke-2 bagi menzahirkan prinsip Malaysian Malaysia.

“Jangan cakap lain buat lain iaitu membodek sehingga maruah dibuang ke tepi,” katanya. 

Sebelum ini, Dr Mahathir menamakan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri. 

Tindakan itu dibuat selepas beliau ditolak oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR). 

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, persetujuan dicapai dalam satu perbincangan tidak formal antara Shafie, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng. 

Perbincangan itu turut bersetuju menamakan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 dan Mukhriz sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2. 

Kemelut dalam PH makin meruncing dan menjadi cacamarba selepas Dr Mahathir meletakkan jawatan Perdana Menteri 24 Februari lalu, sehingga menyebabkan pakatan yang menang ketika PRU14 tumbang – hanya sempat mentadbir 22 bulan sahaja.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close