Berita Utama

MCA kena nilai dulu prestasi sebelum bertanding PRU

MCA tak dapat sokongan dari pengundi Cina: Penganalisis

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – MCA patut mengukur baju di badan sendiri sekiranya mahu mempertahankan kerusi di kawasan majoriti Melayu, kata penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff.

Sebelum ini, Ketua MCA bahagian Tanjung Malim, Goh Choong Seng tanpa rasa malu memberitahu parti itu akan tetap mengemukakan calon, meskipun peratusan pengundi Melayu lebih tinggi berbanding kaum lain.

Isu berkenaan tercetus selepas UMNO menyuarakan hasrat meletakkan calonnya pada PRU15 di Tanjung Malim – yang kononnya sebelum ini didakwa kerusi milik MCA.

Mengulas ‘lagak’ MCA, Dr Syed Agil berkata, melihat kepada kewibawaan parti itu kini mereka diragui dan kurang menyerlah.

“Kemungkinan besar parti-parti pembangkang akan turut meletakkan calon di kawasan sama dan ia akan merugikan parti gabungan sekiranya MCA gagal mempertahankan kawasan atau gagal dalam pertarungaN.

“Kalau kita lihat, prestasi MCA tidak begitu bagus dalam pilihan raya yang lepas dan ini menunjukkan MCA tidak mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi dalam kalangan orang Cina.

“Dan MCA sebenarnya hanya menumpang kejayaan atau menumpang tempat ihsan daripada kelompok parti gabungan sama ada BN (Barisan Nasional) atau PN (Perikatan Nasional) akan datang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb. net hari ini.

Ketika ditanya mengenai pembahagian kerusi dalam BN dan PN, Syed Agil berkata, perbincangan dilakukan adalah berdasarkan prestasi parti-parti dalam gabungan itu.

Beliau berkata, terdapat banyak faktor dan keutamaan diambil kira dalam pembahagian kerusi, termasuk dari segi penerimaan pengundi di kawasan terbabit.

“Adakah pengundi akan mengundi parti MCA dan MIC walaupun kawasan tersebut majoritinya adalah orang Melayu?

“Lagi satu, adakah orang Melayu sanggup mengundi calon daripada parti gabungan yang meletakkan calon bukan Melayu jika dibandingkan dengan calon pembangkang, yang meletakkan calon bukan Melayu di kawasan tersebut? Terutamanya di kawasan majoriti orang Melayu,” katanya.

Selain itu, Syed Agil berkata, kadangkala terdapat isu berlaku, di mana calon bukan Melayu diletakkan di kawasan yang majoritinya orang Melayu tidak dapat diterima oleh pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu disebabkan kemungkinan kekuatan parti gabungan mahupun parti yang bertanding sukar diterima oleh rakyat atau kewibawaannya masih diragui.

“Itu antara faktor mengapa rakyat tidak dapat menerima calon-calon bukan Melayu di kawasan majoriti orang Melayu,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close