Berita Utama

Tahap setia kepada negara membimbangkan

Golongan lepasan vernakular salah satu faktor sukarkan perpaduan

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Tahap kesetiaan generasi muda kepada negara semakin membimbangkan apabila ada pihak seolah-olah menghina dan mencetuskan kontroversi terhadap Jata Negara.

Kegusaran terhadap Rukun Negara kedua itu ditambah pula dengan golongan lepasan vernakular, yang menjadi salah satu faktor menyukarkan usaha perpaduan kaum di Malaysia, kata Ahli Jawatankuasa Pusat Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Shuhaib Ar-Rumy Selamat.

“Penerapan nilai kesetiaan kepada negara mesti diberikan penekanan dan fokus dalam agenda pendidikan dan pembangunan belia negara.

“Apatah lagi generasi inilah yang merupakan pengundi muda dalam PRU (Pilihan Raya Umum) akan datang bagi memilih kepimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan pihak tidak bertanggungjawab menerbitkan buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.

Selepas mendapat kecaman dan laporan polis dibuat, penerbit dikatakan memohon maaf berhubung muka hadapan buku berkenaan.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin memberitahu portal liberal, Malaysiakini kononnya tidak niat untuk menghina lambang negara.

Beliau mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal dari sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya di kulit buku itu diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan kes disiasat menurut beberapa akta termasuk Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes juga disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close