Berita Utama

Tiada otak ke ubah suai Jata Negara: Kok Seong

Lepas buat salah minta maaf, kenapa tak ambil iktibar?

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 8 Zulkaedah 1441H, Selasa – Berang dengan tindakan pihak biadab yang menghina Jata Negara, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan mereka tiada otak kerana tidak memikirkan kesan akibat perbuatan itu.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menegaskan, penghinaan ini sama ada sengaja atau tidak akan membangkitkan kemarahan ramai pihak dan penyebab kepada masalah perpaduan.

Beliau merumuskan bahawa insiden penghinaan terhadap lambang negara terus berlaku kerana tiada hukuman berat yang dikenakan.

Sebelum ini pun banyak insiden seperti bendera Jalur Gemilang dipasang secara terbalik serta nyanyian lagu kebangsaan – Negaraku dalam bahasa Mandarin di sekolah vernakular.

“Kita juga tidak tahu kesudahannya setelah disiasat, hukuman diambil ataupun tidak, apa kesudahannya.

“Jadi apabila tak ada kesudahan, kita akan berterusan berhadapan dengan tindakan hina lambang negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka depan.

Buku yang mendapat kritikan ramai pihak itu disunting oleh penulis, Kean Wong yang mana mempamerkan lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Meskipun penerbit buku yang menimbulkan kontroversi itu meminta maaf berhubung perkara berkenaan, Kok Seong bagaimanapun kesal apabila kesilapan lampau tidak diambil pengajaran.

“Dan ini pun berulang setelah sesuatu tindakan berlaku dalam bentuk penghinaan kepada lambang negara, tindakan susulannya mohon maaf. Persoalan di sini mengapa tidak mengambil iktibar kesilapan lampau?,” soalnya.

Dalam perkembangan sama, Kok Seong bersetuju perbuatan pihak tertentu memperlekehkan lambang negara yang rata-rata suci kerana tiada perasaan bangga dan sayang terhadap negara.

Beliau mengingatkan bahawa kita tidak boleh membuat sesuatu sewenang-wenangnya, malah terdapat juga Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tak Wajar) 1963 yang terang-terangan menyebut kesalahan menggunakan Jata Negara dalam keadaan tidak wajar.

“Itu dari segi perundangan dari segi akal pula tak akan tidak ada pemikiran ini tidak betul, boleh mengundang kemarahan dan menimbulkan huru-hara sedikit sebanyak menganggu perpaduan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button