Berita Utama

Demi jaga hati MCA ‘Buy Malaysian’ kembali bergema

Dulu belum dapat kuasa seru BMF, kini senyap sunyi

BANGI, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) kecewa terhadap pemerintah sekarang yang kembali melaungkan slogan ‘Buy Malaysian’ berbanding kempen Beli Produk Muslim (BMF).

Naib Pengerusi PEMBELA, Cikgu Izzat Johari mendakwa, lebih mengecewakan apabila tindakan itu diambil semata-mata demi menjaga hati rakan politik dari bangsa lain.

“… malah ada di kalangan mereka kembali seperti ketika PH (Pakatan Harapan) memerintah dengan melaungkan ‘Buy Malaysian’ dek nak menjaga hati parti komponen yang minoriti iaitu MCA. 

“Malah, ada pimpinan parti ini membeli di kedai bukan Islam ketika musim PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan telah pun saya tegur secara terbuka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (PAN), Faiz Fadzil yang mempersoalkan sikap membisu PAS berhubung kempen BMF selepas membentuk kerajaan. 

“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara, tetapi sekarang ia dilihat tidak lagi diendahkan oleh PN dan PAS,” kata Faiz.

Cikgu Izzat menjelaskan, kempen BMF yang dilancarkan sejak tahun lalu bukanlah tajaan mana-mana parti tertentu, termasuk PAS. 

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan ada pihak termasuk parti politik yang cuba mengambil kesempatan daripada kempen BMF demi meraih sokongan, dan akhirnya senyap apabila berkuasa. 

Pada masa sama, beliau mengingatkan Faiz supaya tidak mengheret kempen BMF – yang digerakkan NGO Islam – ke dalam kancah politik.

“Kami tidak pernah lupa ketika PH memerintah, lagi teruk kerana tidak langsung menyokong usaha fardhu kifayah ini malah melancarkan Kempen Buy Malaysian menerusi bekas Menteri KPDNHEP.

“Kami jawatankuasa Kempen BMF daripada PEMBELA sentiasa berusaha merancakkan kempen tetapi menggunakan pelbagai kaedah lain. Dakwaan kempen BMF adalah anjuran parti adalah salah sama sekali,” katanya. 

Beliau berkata, tahun pertama kempen berlangsung dengan baik dan wujud banyak pasar raya muslim seperti penambahan 10 rangkaian baharu Ikhwan Mart menjadikan keseluruhan 38 cawangan. 

“Kepada Faiz Fadzil, saya ingin bertanya pula, apakah usaha PAN dalam memperjuangkan kempen BMF Malaysia ini? Berapakah kedai runcit muslim yang telah dibuka oleh PAN? 

“Kalau nak kira halal, produk kafir pun banyak yang dapat halal Jakim. Oleh itu, marilah bersama daripada mempolitikkan sebuah kempen yang menjadi kewajiban kita sebagai umat Islam menyokong,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close