Berita Utama

Haramkan buku hina Jata Negara: Awang Sariyan

Siasat, dakwa penulis serta pelukis dibawah Akta Hasutan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa mengharamkan penerbitan buku bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ yang didakwa menghina Jata Negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan berkata, tindakan itu perlu susulan ia menimbulkan masalah ketenteraman rakyat dan menghina unsur kedaulatan negara.

Tegasnya, segala unsur yang mewakili kedaulatan negara seperti lagu kebangsaan, bendera, bahasa kebangsaan dan Jata Negara mesti dihormati oleh semua warganegara bahkan negara lain.

“Justeru langkah pertama perlu diambil ialah menyiasat dan mendakwa pelukisnya, penulis buku di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain.

“Perbuatan penulis menjadikan bentuk Jata Negara untuk kulit buku mereka, dengan bentuk yang membayangkan penghinaan kepada unsur kedaulatan negara tidak dapat diterima dan perlu diambil tindakan segera oleh KDN di bawah Akta Mesin Cetak dan undang-undang lain yang ada,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net , hari ini.

Dr Awang menyifatkan, buku yang mempamerkan lukisan mirip Jata Negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang, serta mengubah suai bentuk dua ekor harimau selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya turut menghina agama Islam.

“Penghinaan turut membabitkan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang terdapat pada jata. Bahkan penggantian objek asal dengan objek bermotif penghinaan seperti buaya dan lain-lain tidak memberikan kemuliaan kepada negara,” katanya yang juga Penyandang Kursi Za’ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Sebelum ini, buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip jata negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis menyiasat, penerbitnya tampil memohon maaf dan mendakwa kononnya tiada niat untuk menghina lambang negara itu.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close