Berita Utama

COVID-19: Kes di AS terus meningkat, kini cecah 2.6 juta

Jangkitan boleh cecah 100,000 setiap hari, tahap kawalan lemah

BEIJING, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Jumlah kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) terus melonjak kepada 2.6 juta pada Selasa mencecah 2,606, 211 dengan angka korban seramai 126,360 orang, menurut data Johns Hopkins University lapor agensi berita Xinhua.

Di Washington, pakar penyakit berjangkit Anthony Fauci memberi amaran kes COVID-19 di AS boleh meningkat sehingga 100,000 setiap hari memandangkan negara ini “tidak berada pada tahap kawalan yang sepatutnya”.

Fauci merangkap pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan berkata negara sedang “menuju ke arah yang salah” seiring dengan meningkatnya jumlah kes di seluruh negara.

“Kita sekarang mempunyai lebih 40,000 ribu kes baharu sehari. Saya tidak terkejut jumlah itu akan naik sehingga 100,000 sehari. Ia sangat membimbangkan saya,” katanya.

Sementara itu di Kanada, negara ini melanjutkan larangan kemasukan pelancong antarabangsa sehingga 31 Julai, menurut Agensi Perkhidmatan Sempadan Kanada (CBSA).

“Kerajaan Kanada tetap komited untuk melindungi kesihatan dan keselamatan rakyatnya dan mengurangkan penularan COVID-19,” kata CBSA dalam satu kenyataan.

Di Poland, pihak kerajaan mengeluarkan senarai lapan negara bukan Kesatuan Eropah (EU) yang dibenarkan keluar dan masuk ke negara itu.

Mulai 1 Julai, syarikat penerbangan boleh menyambung semula perkhidmatan mereka dengan negara Jepun, Korea Selatan, Ukraine, United Kingdom, Montenegro, Georgia, Kanada dan Albania.

Jumlah kes di Chile meningkat kepada 279,393 menyaksikan 5,688 kematian dan menurut Kementerian Kesihatan terdapat 3,394 kes serta 113 kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Mesir pula mengesahkan sebanyak 1,557 jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes 68,311, kata Kementerian Kesihatan.

Jurucakap kementerian Khaled Megahed berkata seramai 81 pesakit meninggal dunia, dengan jumlah keseluruhan kematian setakat ini 2,953 orang.

Pada Sabtu, Mesir menarik balik sebahagian perintah berkurung waktu malam yang dikuat kuasa sejak tiga bulan lalu.

Kementerian Kesihatan Tunisia pula melaporkan dua kes baharu COVID-19 dan negara ini mencatatkan keseluruhan kes sebanyak 1,174.

Seramai 1,031 pesakit pulih manakala 50 kematian dilaporkan.

Di Israel 803 kes baharu dilaporkan, lonjakan tertinggi dalam tempoh sehari setakat ini, meningkatkan jumlahnya menjadi 25,244 kes, kata Kementerian Kesihatan.

Keseluruhan jumlah kematian pula seramai 320, jumlah pesakit yang berada dalam keadaan serius meningkat kepada 52 berbanding 43 sebelum ini. Seramai 232 pesakit masih dirawat di hospital.

Jumlah pesakit pulih sebanyak 17,341 sementara kes aktif meningkat kepada 7,583, tertinggi sejak 28 April. – Bernama

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close