Berita Utama

DAP hina Jata Negara? Ketua Pemudanya sertai diskusi buku

Mereka ini adalah golongan ekstrim gugat keharmonian negara

BANGI, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Kehadiran Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dalam majlis pelancaran buku kontroversi ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia’ tahun lalu menimbulkan persoalan sama ada parti rasis cauvinis itu menyokong penghinaan terhadap Jata Negara.

Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, Howard turut memberi kata aluan dalam perbincangan mengenai buku itu yang dibuat pada zaman pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan, kumpulan yang sering tampil dengan idea liberal dan imej melawan serta memberontak ini adalah golongan ekstrim yang menggugat keharmonian tanah air.

“Mereka menuduh gerakan Islam sebagai pengganas sedangkan merekalah sebenarnya golongan pelampau. Mereka bercita-cita untuk menghapuskan sistem kesultanan, menyempitkan penafsiran Islam sebagai agama Persekutuan bahkan memperjuangkan kebebasan mutlak yang bertentangan dengan landasan agama.

“Perhatikan bagaimana golongan yang hampir sama jualah yang mendukung idea menolak perundangan Islam, mempertikai hukuman Mahkamah Syariah, berarak mendukung seruan LGBT dan bahkan menyokong Sisters in Islam yang telah diwartakan sesat.

“Kerosakan ideologi kumpulan seperti ini mestilah dimurnikan. Anak muda seharusnya difahamkan dengan keperluan mendukung Islam sebagai asas pembangunan sesebuah negara. Negara seharusnya dipimpin dengan landasan syariat,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa identiti serta simbol kedaulatan negara hendaklah dipelihara.

“Benar, ada ruang kebebasan untuk menyuarakan pandangan, tetapi bukan dengan jalan merendahkan atau menghina,” katanya.

Sebelum ini, buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip jata negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis menyiasat, penerbitnya tampil memohon maaf dan mendakwa kononnya tiada niat untuk menghina lambang negara itu.

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close