Dunia

Israel beri isyarat tangguh rampas Tebing Barat

Rakyat Palestin dakwa usaha merampas tanah mereka masih ada

TEL AVIV, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Menteri Luar Negeri Israel, Gabi Ashkenazi mencadangkan supaya rancangan Tel Aviv untuk memulakan proses pengambilalihan wilayah Palestin – yang sepatutnya dijadualkan pada 1 Julai – tidak dilaksanakan. 

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengatakan perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai rancangan pengambilalihan wilayah akan berlanjutan selama beberapa hari, di mana tidak mengikut tarikh yang disasarkan pada 1 Julai. 

“Saya rasa tiada apa-apa akan dilaksanakan hari ini,” kata Ashkenazi anggota Parti Biru dan Putih yang bekerjasama dengan sayap kanan Likud. 

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz turut memberi isyarat bahawa proses pengambilalihan wilayah Palestin tidak dilaksanakan hari ini, sehingga krisis pandemik COVID-19 berjaya dibendung. 

Bagaimanapun, media Israel mendakwa, Netanyahu masih meneruskan usahanya menerusi langkah memperluaskan satu lagi penempatan haram di pinggir Baitulmaqdis. 

Dalam masa sama, rakyat Palestin juga sudah mula berhimpun di bandar Gaza sebagai menentang rancangan berkenaan, dan demonstrasi sama juga turut diadakan di Tebing Barat.

“Bagi pihak Palestin, rancangan merampas tanah berdaulat itu masih ada, sama ada ia dilakukan secara berperingkat atau ditangguhkan untuk beberapa minggu atau bulan.

“Yang pasti rancangan ini adalah selangkah lagi untuk memperkuatkan penjajahan Israel,” kata Ketua Pihak Berkuasa Palestin, Nida Ibrahim. 

Netanyahu telah bersemangat untuk memulakan proses kontroversi itu, selaras dengan rancangan Presiden AS, Donald Trump yang disebut sebagai pelan Timur Tengah. 

Rancangan itu membuka jalan kepada Israel untuk memperluaskan penjajahannya di wilayah Tebing Barat yang dianggap sebagai penempatan haram menurut undang-undang antarabangsa. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close