Berita Utama

Jata Negara: Bukti wujud gerakan menentang lambang negara

Zunar jika tak faham erti Jata Negara sila menuntut dari Kok Seong

BANGI, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Naib Presiden Barisan Jemaah Islamiyah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman membidas kenyataan kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar yang membela imej muka hadapan buku kontroversi, Rebirth: Reformasi Resistance and Hope in New Malaysia yang kononnya bukan memanipulas Jata Negara. 

Zunar yang dipetik dari sebuah portal liberal berkata, imej kontroversi yang dipaparkan di kulit buku itu tidak patut dilihat sebagai memanipulasikan Jata Negara, selain mendakwa pereka hanya menggunakan lambang itu sebagai rujukan. 

“Ini kerana hanya satu bahagian, iaitu kurang dari 50 peratus dari keseluruhan gambar lambang Jata Negara yang lengkap, digunakan dalam karya itu.

“Manipulasi adalah apabila seseorang menggunakan keseluruhan logo dan mengubah satu atau sebahagian kecil dari keseluruhan logo,” kata kartunis kontroversi itu.

Menyelar kenyataan Zunar itu, Ustaz Mohd Hazizi berkata, kartunis berkenaan disarankan supaya belajar daripada Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berhubung kedudukan lambang negara bangsa (etnosimbolisme). 

“Prof Datuk Dr Teo Kok Seong seorang pakar penyelidik kajian etnik sudah tentu amat memahami erti dan kedudukan perlambangan negara bangsa (etnosimbolisme). 

“Jata Negara termasuk salah satu lambang yang menjenamakan negara bangsa Malaysia, dengan mengikat kemas identitinya berasaskan nilai-nilai sejarah dan ciri-ciri sosio budaya penduduk watan alam Melayu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau berkata, gerakan penentangan penjenamaan sentiasa wujud, termasuk aliran kiri dan mereka yang berfahaman sosialisme serta komunisme.

Sebelum ini, buku suntingan penulis, Kean Wong itu tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan. 

Selepas Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis menyiasat, penerbitnya tampil memohon maaf dan mendakwa kononnya tiada niat untuk menghina lambang negara itu. 

Pengarah dan pengasas syarikat penerbitan Gerakbudaya, Chong Ton Sin mendakwa, imej pada kulit buku itu berasal daripada sebuah lukisan yang pernah dipamerkan di negara ini beberapa tahun lalu, dan penggunaannya diatur antara pelukis dan pengarang buku terbabit.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close