Berita Utama

MCA guna bahasa Cina gesa DAP, ada udang di sebalik batu?

Umum tahu parti Cina akrab, berstrategi bertindak demi bangsa

BANGI, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya hairan dengan tindakan Naib Presiden MCA, Datuk Tan Teik Cheng yang mengeluarkan kenyataan menggunakan bahasa Cina untuk menggesa DAP.

Katanya, sedangkan kebiasaannya beliau menggunakan bahasa Melayu untuk setiap kenyataan yang disiarkan di dalam Facebook.

Beliau mempersoalkan, sama ada perkara itu memang sesuatu yang disengajakan supaya hanya akhbar Cina sahaja yang dapat melaporkannya.

“Mungkin ini bukan sesuatu yang pelik kerana sudah banyak yang terbongkar dan memang diketahui umum pun bahawa parti-parti Cina ini sangat akrab antara satu sama lain dan akan sentiasa bertindak dengan berstrategi dalam agenda-agenda bangsa mereka.

“Mungkin ini yang perlu parti-parti Melayu ambil iktibar dan renungkan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Enggan mengulas lanjut perkara berkenaan, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi PEMBELA menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian sendiri.

“Mungkin ada yang mahu bersangka baik lagi di atas nama ‘seni berpolitik’ yang kononnya hanya mereka sahaja yang faham. Terserahlah, tetapi fikir-fikirkanlah dengan mendalam lebih-lebih lagi pilihan raya umum sudah semakin dekat,” katanya.

Terdahulu, Teik Cheng dalam satu kenyataan berbahasa Cina menggesa DAP yang mempunyai 42 kerusi Parlimen sekali gus parti dominan dalam Pakatan Harapan (PH) mencalonkan Lim Kit Siang sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Gesaan itu dikatakan bagi menzahirkan prinsip Malaysian Malaysia yang diperjuangkan oleh DAP.

Beliau mengingatkan DAP – parti tamak haloba – supaya berhenti memberi tumpuan sepenuhnya ‘membodek’ Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya mempunyai pendirian dan pendapat sendiri dalam pemilihan calon Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Haji Aminuddin mengingatkan, akhbar bahasa Melayu dan Inggeris untuk sentiasa memantau kenyataan ahli politik Cina dalam bahasa Mandarin supaya rakyat khususnya orang Melayu dapat memahami interaksi sesama mereka.

Beliau mengesyorkan pihak media ‘melabur’ sedikit wang untuk mengambil penterjemah dan menganggap tindakan itu sebagai bermanfaat buat negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button