Berita Utama

Pembukaan penuh sekolah hanya babitkan PdP sahaja

Aktiviti tambahan, kokurikulum, perhimpunan tak dibenarkan

PUTRAJAYA, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Pembukaan penuh sekolah secara berperingkat bermula 15 Julai ini adalah terhad kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) sahaja.

Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin memaklumkan, pelaksanaan aktiviti tambahan atau kokurikulum termasuk sukan atau perhimpunan, tidak dibenarkan buat masa ini.

“Pelajar datang ke sekolah hanya untuk PdP sahaja buat masa ini. Bagi aktiviti lain, perbincangan akan dilakukan dan keputusan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Katanya, kantin sekolah pula dibenarkan beroperasi namun waktu rehat pelajar perlu dilaksanakan secara berperingkat dan makanan perlu dibungkus terlebih dahulu.

Pelajar bagaimanapun digalakkan membawa makanan sendiri, katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pembukaan semula sekolah berasrama dilaksanakan mengikut kapasiti asrama sekolah masing-masing.

“Asrama yang mempunyai kapasiti yang mencukupi setelah mengambil kira penjarakan sosial akan beroperasi seperti biasa.

“Bagi asrama yang mempunyai kapasiti ruang terhad, hanya sebahagian murid sahaja dibenarkan tinggal di asrama.

“Pada peringkat awal kemasukan, murid hanya menggunakan katil bawah sahaja. Namun, selepas tempoh 14 hari, kumpulan murid baharu dibenarkan masuk ke asrama dengan menempatkan murid sedia ada di katil atas manakala murid baharu di katil bawah,” katanya.

Beliau berkata, rutin prosedur itu diteruskan sehingga semua murid dapat tinggal di asrama.

“Untuk asrama yang menggunakan katil dua tingkat, semua murid dijangka dapat kembali ke asrama dalam tempoh 28 hingga 42 hari dari 24 Jun 2020,” tambah Dr Radzi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button