Berita Utama

Semua masjid, surau dibuka semula: Sultan Selangor

Baginda turut titah laksana ibadah korban di masjid sahaja

BANGI, 9 Zulkaedah 1441H, Rabu – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya boleh dilaksanakan di masjid sahaja.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, bagaimanapun, surau-surau yang telah pun merancang melakukan ibadah berkenaan boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

Katanya, segala pelaksanaan dan urusan pentadbiran secara terperinci berkaitan titah terbaharu Sultan Selangor akan dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) serta jawatankuasa-jawatankuasa masjid dan surau yang berkaitan.

“Baginda menitahkan agar setiap jemaah wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak JAIS khususnya mengambil wuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di masjid dan surau serta mengamalkan penjarakan sosial.

“Bagi mereka yang tidak sihat adalah dilarang sama sekali untuk melaksanakan solat di masjid dan surau,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan Sultan Selangor akan sentiasa mengikuti perkembangan serta pematuhannya dari semasa ke semasa, sebelum membuat sebarang pertimbangan selanjutnya bagi menentukan jumlah kehadiran jemaah di masjid dan surau.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Munir berkata, Sultan Selangor memperkenankan semua masjid dan surau kebenaran mendirikan solat Jumaat berkuat kuasa 3 Julai ini selepas mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak COVID-19. .

Manakala semua masjid dan surau dibuka semula untuk mendirikan solat fardhu lima waktu secara berjemaah dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan, katanya.

Katanya lagi, jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardhu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah ditetapkan pada 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid.

“Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardhu di semua masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk pegawai dan AJK masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid yang berkenaan.

“Jumlah kehadiran jemaah di Surau Kebenaran Solat Jumaat bagi mendirikan Solat Jumaat dan Solat Fardhu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK surau.

“Sementara jumlah kehadiran jemaah di surau untuk Solat Fardhu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan AJK surau,” katanya.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close