Berita Utama

Lakukan ‘gencatan politik’, timbang rasa kebimbangan rakyat

Anwar bawa bencana kepada negara jika Parlimen bubar, PRU diadakan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Safar 1442H, Rabu – Semua ahli politik yang bertimbang rasa diminta untuk melakukan ‘gencatan politik’ buat sementara waktu kerana negara masih lagi berhadapan dengan virus COVID-19, ketika ini.

Buanglah segera segala kerakusan yang keterlaluan, ketamakan untuk merebut kuasa sehingga keselamatan dan kesihatan rakyat dipinggirkan, kata pemerhati politik, Budiyanto Uggun.

Beliau berkata demikian susulan laporan sebuah portal tempatan yang memetik sumber bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini sedang menunggu tarikh baru untuk mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung usahanya untuk menubuhkan kerajaan baru.

Sumber yang dilaporkan dekat dengan Anwar itu menegaskan bahawa beliau kini masih mempunyai sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat, selepas kira-kira dua minggu membuat sidang media khas untuk mengumumkan perkara itu.

Mengulas situasi itu, Budiyanto berkata, jika Anwar mempunyai bilangan majoriti dan ia adalah benar, tidak mustahil akan berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Apabila Parlimen dibubarkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus menetapkan tarikh pilihan raya akan berlangsung. Mengikut Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran Parlimen.

“Mereka akan mula berkempen sepanjang tempoh tersebut. Bayangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah boleh membawa kes jangkitan yang begitu ramai, bagaimana pula PRU yang diadakan di seluruh negara?

“Itu saya kira adalah satu bencana kesihatan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Bagi memastikan mimpi ngeri itu tidak berlaku, maka perlu ada gencatan politik sehingga keadaan benar-benar terkawal, tegas Budiyanto.

“Biar kerajaan laksana kerja mereka, melandaikan semula lengkung (flatten the curve) COVID-19 sehingga angka positif turun kepada satu digit, bahkan hingga sifar kes. 

“Berhentilah berpolitik seketika. Orang politik sedang tuduh menuduh, bercakar tetapi rakyat di bawah yang merasakan sengsaranya.

“Bila keadaan sudah kembali pulih, sambunglah berpolitik. Dipersilakan,” katanya.

Bagaimanapun, kata Budiyanto, jika Anwar masih meneruskan perancangannya untuk mempersembahkan bilangan majoriti Ahli Parlimen sehingga membawa kepada pembubaran Parlimen, maka beliau dapat dilabelkan sebagai membawa kepada kehancuran.

“Jika demikian berlakunya, Anwar Ibrahim bawa kepada kehancuran dalam sistem kesihatan Malaysia. Sebab kita dah ada bukti, kes daripada Sabah. Itu satu bukti. Takkan kita tak boleh membawa unjuran ke depan?

“Ia hanya akan mencetuskan panik. Mungkin Allah SWT nak tunjuk. Ahli politik ini nanti kita akan lihat, kerana hujung Oktober atau pun awal November akan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi. 

“Pasti akan ada ahli politik dari Semenanjung yang berkempen secara tidak rasmi, berjumpa orang sana-sini. Masa itu kita akan lihat, adakah benar ahli politik ini ikhlas untuk rakyat atau hanya nak dapatkan kuasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button