Berita Utama

Agenda BMF libat ruang lingkup luas, jangan sempitkan kerana politik

Matlamat kempen jelas untuk perkasakan ekonomi orang Islam

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis  – Kempen Beli Produk Muslim (BMF) tidak sepatutnya dijadikan sebagai modal politik oleh mana-mana pihak, tegas Yang di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seremban, Norhelmi Jamil.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) yang menyifatkan PAS hanya mempolitikkan kempen BMF kerana kempen berkenaan sudah tidak penting lagi bagi mereka.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil berkata, kempen BMF walaupun bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam namun dipolitikkan PAS sebelum ini.

Beliau turut mempersoalkan mengapa kempen itu tidak diteruskan untuk mengukuhkan ekonomi Melayu-Islam di Malaysia dalam Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) diumumkan di bawah PN dengan nilai RM275 bilion.

Mengulas lanjut perkara itu, Norhelmi berkata, kempen BMF ini tidak patut dijadikan modal politik kerana objektifnya jelas itu untuk memperkasakan ekonomi umat Islam.

“Ianya bukan agenda politik yang sempit tetapi agenda umat Islam yang luas, besar dan perlu diutamakan,” katanya seperti dilapor Isma.org.

Membidas dakwaan pemimpin Amanah itu bahawa kempen ini mendapat tajaan dari parti politik, Norhelmi menegaskan, kempen itu hanya digerakkan oleh umat Islam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersama usahawan.

“Kempen ini diusahakan dengan keringat dan duit poket oleh penggerak kempen dan para usahawan sendiri.

“Malahan umat Islam juga menyokong usaha ini kerana manfaat akan kembali kepada mereka juga.

“Bahkan tiada keraguan dari segi kehalalan produk dan kualiti servis yg diberikan,” katanya lagi.

Beliau berkata, tidak salah jika kuasa beli yang terbesar di negara ini iaitu orang Islam, disalurkan kepada usahawan muslim juga.

“Kesannya akan menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara terutama dalam meghadapi wabak COVID-19 ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close