Berita Utama

Calon PM: Kerenah politik Anwar rosakkan rakyat, negara

Cukuplah berpolitik, bersara beri peluang pemimpin lain

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Saranan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tindakan yang sepatutnya sudah lama dilakukan oleh Presiden PKR itu.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, Anwar seharusnya meninggalkan PH kerana jelas bahawa DAP yang mengawal pakatan berkenaan selama ini.

“Namun, lagi baik kalau Anwar boleh bersara daripada politik dan beri kepada pemimpin-pemimpin baharu yang muda dan lebih wibawa.

“Cukuplah kerenah politik yang hanya merosakkan rakyat dan negara,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, PAS menasihatkan Anwar supaya keluar dari PH dan menyokong Muhyiddin sekali gus menghentikan pergolakan politik.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, saranan itu dibuat berikutan PH dilihat sudah tiada masa depan, selain pakatan itu juga jelas menolak Presiden PKR itu.

Penolakan itu dapat dilihat apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi PH.

Difahamkan, keputusan itu dibuat selepas beliau mengadakan perbincangan tidak rasmi bersama Shafie; Presiden PAN, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan beberapa Ahli Parlimen lain seperti Anthony Loke, M Kulasegaran, Liew Chin Tong dan Tan Kok Wai dalam satu pertemuan.

Dr Mahathir berkata, mereka turut bersetuju untuk mencadangkan Anwar sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 1 manakala Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri 2.

Meskipun bersetuju dengan nasihat disuarakan PAS semalam, Haji Aminuddin bagaimanapun mengingatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya memperbetulkan kesilapan-kesilapan lama dan membuka era baharu kerajaan Melayu.

Beliau yang Pengerusi PEMBELA turut menggesa kerajaan supaya memperkuatkan agenda Islam dan Melayu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close