Berita Utama

Dominasi Melayu Islam kukuh mampu stabilkan negara

Perangi amalan rasuah, salah guna kuasa tanpa pilih kasih

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Hala tuju kerajaan Persekutuan pimpinan Perikatan Nasional (PN) sewajarnya memberi keutamaan kepada kestabilan politik agar agenda besar negara dapat dilaksanakan.

Sehubungan itu, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Datuk Dr Ir Badrulhisham Abdul Aziz menyarankan, PN memperkukuhkan dominasi Melayu Islam di negara ini.

Beliau menyifatkan, agenda itu amat penting demi perpaduan, keamanan dan keharmonian negara.

“Selain itu, perancangan ekonomi jangka sederhana dan panjang mesti dibangunkan. Tidak cukup dengan pelan ekonomi jangka pendek pasca COVID-19.

“Bahkan, pengukuhan jentera kerajaan dalam semua kementerian perlu diberi perhatian agar sistem penyampaiannya berkesan seperti mana prestasi Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi yang berjaya dalam menangani wabak COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Badrulhisham berkata, sektor pendidikan dan latihan terutama dalam pengajian tinggi mesti diutamakan bagi melahirkan modal insan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan berinovasi dalam menghadapi zaman kemelesetan ekonomi global pasca COVID-19.

“Rakyat juga mengharapkan satu kerajaan yang bersih dan berintegriti, selain dari kerajaan yang stabil. Amalan rasuah, salah guna kuasa, kronisme, dan lain-lain di semua peringkat mesti diperangi habis-habisan tanpa memilih kasih. ‘Rule of law’ juga mesti ditegakkan,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan akan meneruskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bagi melonjakkan ekonomi negara dan merapatkan jurang pendapatan rakyat.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga akan berusaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Pendidikan sebelum ini.

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 diasaskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, rakyat tertanya bagaimana rancangan seterusnya ekoran kerajaan PN sekarang dianggotai oleh parti yang dahulu adalah pembangkang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button