Berita Utama

Hina Jata Negara umpama lancar ‘perang’ ke atas Agong

Istilah rebirth adalah institusi baharu mahu hancurkan raja Melayu

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Tindakan biadab mengubah suai Jata Negara adalah perbuatan khianat serta derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara.

Bukan itu sahaja, tindakan itu juga secara jelas menentang tonggak kedaulatan dan undang-undang negara, demikian tegas Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam (ISTAC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican.

Beliau menegaskan permohonan maaf susulan perbuatan menghina Jata Negara tidak cukup, sebaliknya pengkhianat perlu dijatuhkan hukuman berat kerana melancarkan ‘perang’ kepada Agong.

“Demokrasi dan masyarakat warganegara di negara Barat seperti Amerika Syarikat dan Britain tidak pernah memperlekehkan bendera dan Jata Negara mereka.

“Namun di negara ini, terlalu banyak kali oleh mereka yang bersikap anarkis, antinasional dan antipemerintahan Melayu berbuat sedemikan. Di mana nilai kewarganegaraan mereka dan kad pengenalan yang mereka miliki?

“Kumpulan ini kononnya mengamalkan demokrasi, liberal dan inskulif sebenarnya mencetuskan satu revolusi. Istilah rebirth, reborn yang digunakan membentuk bukan kerajaan baharu tetapi institusi baharu menghancurkan institusi Yang di-Pertuan Agong dan raja Melayu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Pada masa sama, Dr Ahmad Murad hairan apabila parti bukan Melayu tidak tegas dalam mengutuk tindakan menghina lambang kedaulatan negara ini.

Bahkan, beliau tidak menolak kemungkinan mereka mungkin bersekongkol dengan kumpulan anarkis yang didakwa cuba melakukan revolusi secara halus dengan merentasi simbol jata.

“Ini serius. Kerajaan mesti menegur dan mengajar kumpulan sebegini. Golongan inilah yang giat dalam ‘Malay-bashing’ dan memberi imej negatif kepada ‘kerajaan Melayu’ yang dipaparkan sebagai tidak inklusif. Mereka mesti diberitahu bahawa kerajaan Melayu yang amat inklusif sejak 1957.

“Orang Melayu yang jemput mereka berkongsi kuasa pada 1957. Apakah mereka bangsa bukan Melayu lupa sejarah atau sengaja tidak ingat? Mereka mesti sentiasa diingatkan selagi mereka warganegara Malaysia. Negara ini bukan untuk dipermainkan dan dipersendakan,” tegasnya.

Sebelum ini, buku ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Buku itu diharamkan Kementerian Dalam Negeri berkuatkuasa semalam.

Menurut Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.

Perintah bertarikh 1 Julai 2020 itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang antara lain menamakan penyunting buku, Kean Wong dan penerbitnya, Strategic Information and Research Development Centre yang beralamat di Petaling Jaya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close