Berita Utama

Jata Negara: Pesalah wajar dihukum di bawah Akta Hasutan 1948

Pemuda ISMA Johor Bahru bertindak buat laporan polis

JOHOR BAHRU, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Walaupun Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat serbuan dan merampas 313 naskah buku didakwa menghina Jata Negara, desakan supaya pihak yang terbabit di sebalik penerbitannya dikenakan tindakan tegas masih diteruskan. 

Atas dasar itu, satu laporan polis turut dibuat oleh Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Johor Bahru ke atas buku kontroversi, Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia, semalam. 

Laporan berkenaan dibuat Ketua Pemuda ISMA Johor Bahru, Fhirdaus Zainal Abidin di Balai Polis Bandar Dato Onn, di sini. 

Turut hadir Yang Dipertua ISMA Johor, Wan Mohd Azli dan Ketua Pemuda ISMA Iskandar Puteri, Ahmad Nor. 

“Pemuda ISMA Johor Bahru berterima kasih atas tindakan pantas PDRM yang telah melakukan serbuan ke atas syarikat tersebut.

“Adalah diharapkan mereka yang terlibat dalam mereka bentuk dan menerbit buku terbabit dikenakan hukuman atas kesalahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984,” katanya.

Sebelum ini, buku suntingan penulis, Kean Wong tular di media sosial dan mendapat kecaman netizen kerana mempamerkan logo mirip Jata Negara yang diubah suai sebagai penghias muka hadapan. 

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan larangan terhadap buku berkenaan di bawah Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Penerbitan Tidak Diingini) 2020.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button