KASA tubuh jawatankuasa baiki perkhidmatan air luar bandar
Komited ke arah sasaran liputan 98 peratus bekalan air luar bandar
BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Satu jawatankuasa peringkat nasional bagi Projek Pelaksanaan Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang dipengerusikan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan ditubuhkan.
Menteri Alam Sekitar, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penubuhan jawatankuasa itu adalah untuk koordinasi dan kawal selia di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak yang akan mengadakan mesyuarat pertama pada Ogos ini.
Beliau berkata, jawatankuasa ini memberi fokus kepada usaha menambah baik kualiti perkhidmatan menerusi pembangunan infrastruktur dan sistem bekalan air yang mematuhi garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) seperti yang termaktub dalam Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655), dan operasi serta sistem BALB alternatif yang lebih mampan.
“Dua agensi KASA iaitu Bahagian Bekalan Air dan Jabatan Pengairan dan Saliran terlibat aktif dalam perancangan dan pelaksanaan projek.
“KASA komited memastikan hasil projek dapat dilaksanakan menerusi kesepaduan antara kementerian dan agensi lain ke arah sasaran liputan 98 peratus bekalan air luar bandar menjelang tahun 2025,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Projek BALB turut membabitkan beberapa lagi kementerian serta agensi lain termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementeria Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA), Felda dan Lembaga Kemajuan Wilayah.