Uncategorized

KDN haramkan buku hina Jata Negara

Perintah dibuat menterinya Datuk Seri Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Buku yang menggunakan Jata Negara yang diubah suai, Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia diharamkan Kementerian Dalam Negeri berkuat kuasa, semalam.

Menurut Warta Kerajaan bertajuk Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2020, ia membabitkan larangan secara mutlak terhadap buku berkenaan.

Perintah bertarikh 1 Julai 2020 itu dibuat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang antara lain menamakan penyunting buku, Kean Wong dan penerbitnya, Strategic Information and Research Development Centre yang beralamat di Petaling Jaya.

Turut di amalan dalam Warta Kerajaan itu, pencetak buku berkenaan, Vinlin Press Sdn Bhd, yang beralamat di Puchong.

Warta Kerajaan itu menyebut perintah itu dibuat melalui peruntukan bawah subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301] yang membolehkan menteri membuat perintah berkenaan.

“Pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang diperihalkan dalam Jadual yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, yang mungkin memudaratkan keselamatan, yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, yang mungkin berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan yang mungkin memudaratkan kepentingan negara adalah dilarang secara mutlak di seluruh Malaysia,” katanya.seperti dilapor media tempatan.

Polis kelmarin menyerbu pejabat syarikat penerbitan yang dikaitkan dengan penghinaan terhadap logo Jata Negara di Seksyen 11, Petaling Jaya, selain merampas 313 buku itu yang masih tersimpan dan belum terjual.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, dilaporkan berkata, siasatan mendapati syarikat penerbitan itu mencetak 1,000 naskhah untuk edaran dengan 687 sudah pun terjual dalam talian.

Beliau juga berkata, pihaknya sudah membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close