Berita Utama

Kes rogol: Jauhi polemik pemangsa, beri keutamaan cari solusi

Kajian dapati 50 peratus pelaku ada masalah keluarga

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Ibu bapa perlu memainkan peranan menekankan aspek agama dalam jiwa anak-anak bagi mencegah berlakunya jenayah rogol.

Menerusi Program Analisis TV Alhijrah malam tadi, Naib Presiden I-Medik, Dr Rozanizam Zakaria serta Presiden WAFIQ, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar menekankan bahawa penyelesaian kes rogol mesti bersifat holistik dan mencegah.

“Ini termasuk menekankan benteng agama dalam jiwa anak-anak, bina institusi keluarga yang protektif dan pastikan pergaulan anak-anak terkawal,” kata mereka.

Selain itu, Dr Rozaniszam turut berkongsi hasil kajian Clinical and Developmental Characteristics of Sex Offenders in Malaysian Prisons yang membabitkan 147 pesalah seksual dari tiga penjara di Malaysia.

Lebih 50 peratus pesalah ini mengaku bahawa mereka membesar dalam keadaan mempunyai masalah dengan ibu bapa di rumah dalam tiga bentuk iaitu keluarga tidak ekspresif; keluarga tidak menyokong serta terasing dari keluarga.

Sementara 29 peratus sudah tidak lagi tinggal bersama keluarga seawal usia 16 tahun.

76 peratus mempunyai rakan yang ada perilaku berisiko tinggi.

Dr Rozanizam berkata, kes-kes jenayah rogol seperti yang didengari hari ini bukan terbentuk sehari dua.

“Jadi jauhkan polemik lelaki lawan perempuan, pemangsa lawan mangsa. Tetapi fokus pada solusi,” katanya

Melihat kepada permasalahan itu, Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Ahmad Sanusi Azmi menyarankan ibu bapa membina keluarga mengikut ajaran Islam.

“Statistik rogol semakin meningkat. Kebanyakan pesalah mengakui mempunyai masalah dalam keluarga sendiri.

“Hati-hati tuan dan puan. Binalah keluarga melalui pendekatan syarak berpandukan Quran dan Sunnah. Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close