Malaysia terus sokong perjuangan rakyat Palestin
PM ajak rakyat berdoa agar masalah di wilayah berkenaan selesai
KUALA LUMPUR, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin dan menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu.
“Marilah bersama-sama kita berdoa agar permasalahan dan persengketaan di wilayah bergolak itu dapat diselesaikan secara aman. Insya-Allah.
“Pada kesempatan ini, saya juga ingin menegaskan bahawa Malaysia akan terus memberi sokongan padu kepada perjuangan rakyat Palestin.
“Saya menggesa masyarakat antarabangsa, khususnya PBB agar segera mencari penyelesaian terbaik kepada pelan damai di wilayah itu,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Beliau juga berkongsi empat gambar dan catatan menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi dan Pengasas Yayasan MyAQSA, Suwardi Yaacob dan penjawat yayasan itu di pejabatnya.
Muhyiddin berkata, beliau diberikan penerangan berhubung MyAQSA yang ditubuhkan pada 2017 pada pertemuan kira-kira satu jam itu.
“Alhamdulillah, saya sangat berbangga dengan komitmen dan usaha berterusan MyAQSA dalam mendidik masyarakat tentang konflik Israel-Palestin dan kepentingan Masjidil Aqsa yang juga satu daripada tiga masjid paling utama dalam Islam selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi,” katanya.