Mesir mula rancakkan ekonomi selepas COVID-19 dibendung
Benarkan penerbangan antarabangsa, buka pusat pelancongan
KAHERAH, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Mesir membenarkan semula penerbangan antarabangsa dan membuka kembali tempat tarikan pelancongan utama termasuk Piramid Besar Giza mulai semalam, setelah penutupannya selama tiga bulan akibat pandemik COVID-19.
Negara itu menutup lapangan terbangnya untuk penerbangan antarabangsa dan tempat bersejarah yang terkenal pada pertengahan Mac, ketika kerajaan berusaha membendung penularan wabak berkenaan.
Penutupan itu menyebabkan industri pelancongan yang menyumbang lima peratus daripada sumber ekonomi dan 15 peratus pekerjaan serta pelaburan terhenti.
Menurut laporan media antarabangsa, hari pertama pembukaan kembali Giza – destinasi pelancongan yang menjadi simbol kepada Mesir – tidak seperti selalunya yang sering menerima ramai pengunjung.
Sementara itu, sebanyak 16 penerbangan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah semalam, kata menteri penerbangan negara itu.
Khaled al-Anany berkata, dua penerbangan sewa khas tiba di lapangan terbang Sinai dan Laut Merah yang membawa pelancong dari Ukraine.
Mesir telah mencatatkan sebanyak 68,311 kes jangkitan COVID-19 dengan 2,953 kematian.- Agensi