Berita Utama

PAS tak ubah seperti Amanah, kelu dengan MCA serta kapitalis

Masyarakat mahu lihat PAS bawa agenda Islam secara menyeluruh

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Sikap mendiamkan diri atau tidak mengambil peluang yang ada setelah menjadi kerajaan, mampu mengikis kepercayaan rakyat terhadap PAS. 

Ketua Penerangan Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Pusat, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, akhirnya nanti, rakyat akan menyamakan PAS seperti sebuah lagi parti berteraskan Islam iaitu Parti Amanah Negara (Amanah). 

“Amanah kelu untuk bercakap agenda agama Islam kerana nak menjaga hati DAP, apa kurangnya PAS juga kelu kerana nak menjaga hati MCA dan puak puak kapitalis.

“PAS mesti menjaga susuk tubuh partinya sebagai parti Islam. Ini penting kerana masyarakat mahu melihat kemampuan pemimpin PAS benar-benar membawa agenda Islam secara menyeluruh,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan pemimpin Amanah yang mempersoalkan punca kempen Beli Produk Muslim (BMF) tidak diteruskan dalam tiga Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang diumumkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan nilai RM275 bilion.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil menyifatkan, PAS hanya mempolitikkan kempen BMF kerana kempen berkenaan sudah tidak penting lagi bagi mereka setelah menjadi kerajaan.

Mengulas lanjut perkara itu, Ustaz Zamani berkata, jika ini berlaku, maka ungkapan-ungkapan PAS berkaitan agenda Islam sebelum ini akan dianggap sebagai retorik dan agama dijadikan sebagai alat untuk agenda politik semata-mata.

“Saya berpandangan, PAS mesti berani mengambil peluang demi agenda agama lebih-lebih lagi asas kepada BMF itu sangat kuat sama ada dari segi hujah, nas dan keutamaannya,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, BMF bukan membawa maksud boikot seperti naratif yang dibawa oleh DAP, parti tamak haloba. 

“BMF memang ada asas yang cukup jelas dalam syariat. Setiap yang ada asasnya dari syariat, maka sepatutnya itu jualah agenda yang mesti diperjuangkan oleh PAS,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button