Berita Utama

Peperangan: Malaysia desak semua pihak hentikan pertempuran

Elak kehilangan nyawa dan kemusnahan yang lebih teruk

KUALA LUMPUR, 2 Syaaban 1443H, Sabtu – Malaysia menggesa semua pihak untuk segera meredakan ketegangan dalam konflik Rusia-Ukraine bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kemusnahan yang lebih teruk, selain ia juga amat bimbang dengan peningkatan konflik yang berpotensi bertukar menjadi situasi kemanusiaan.

Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Malaysia turut menyeru agar laluan masuk yang selamat dan tanpa halangan dapat disediakan, terutamanya di kawasan utama konflik. Ia bagi memastikan bantuan kemanusiaan segera disampaikan kepada semua pihak yang terkesan, terutamanya golongan rentan.

“Malaysia menyeru semua pihak mengambil langkah segera untuk meredakan ketegangan, meneruskan dialog dan mengambil langkah mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa dan kemusnahan teruk daripada berlaku.

“Malaysia turut menyeru semua pihak untuk meneruskan dialog dan meneliti segala kemungkinan bagi mencari jalan penyelesaian kepada konflik itu secara damai,” kata kenyataan itu.

Ia perlu dilaksana berlandaskan Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa yang berkaitan, termasuk menghormati kedaulatan dan integriti wilayah setiap negara anggota,” katanya dalam kenyataan itu.

Sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Malaysia sebelum ini mengundi menyokong mengadakan Debat Khas dua hari yang menerima pakai resolusi mengenai ““Situasi hak asasi manusia di Ukraine yang berpunca daripada keganasan Rusia” pada sesi ke 49 HRC yang bermula Khamis lalu (3-4 Mac).

Malaysia mengundi bersama 28 ahli HRC lain, dengan 32 undi memihak; 2 menentang dan 13 berkecuali.

Kenyataan itu berkata Malaysia akan terus memainkan peranan yang objektif dan adil dalam usaha memupuk dialog dan perdamaian.

“Bagi mencapainya, Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak ke arah penyelesaian konflik secara aman dan damai,” tambah kenyataan itu. – Bernama