Berita Utama

PEMBELA tuntut individu pelihara Islam jadi Speaker baharu

Itu merupakan 1 di antara 5 ciri yang digariskan NGO berkenaan

BANGI, 10 Zulkaedah 1441H, Khamis – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menggariskan lima ciri perlu dimiliki oleh seorang Speaker Dewan Rakyat baharu yang bakal dilantik, kelak.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, perkara tersebut penting dalam memastikan kerajaan melantik individu yang diyakini dan mempunyai reputasi baik ke jawatan berkenaan.

Beliau berkata, ciri pertama yang perlu ada dalam peribadi Speaker Dewan Rakyat adalah menjunjung tinggi kedudukan serta kedaulatan Islam dalam Perlembagaan.

Manakala ciri kedua, katanya, Speaker perlu menghormati serta menjunjung sistem Raja Berperlembagaan.

“Ketiga, menghormati serta menjamin hak kedudukan orang Melayu, Bumiputera dan hak kaum-kaum lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sementara yang keempat, Speaker juga perlulah seorang yang berakhlak mulia, berintegriti dan mempunyai rekod bebas rasuah serta yang kelima, tegas dalam menjunjung semua prinsip Rukun Negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, PEMBELA juga mendesak agar semua Ahli Parlimen yang diberikan hak untuk memilih Speaker menghormati tuntutan berkenaan dan melantik calon daripada kalangan individu yang mempunyai ciri-ciri di atas.

“PEMBELA juga ingin menegaskan kepada kerajaan supaya menolak dengan tegas individu yang dipercayai dan diyakini membawa bentuk-bentuk pemikiran yang bertentangan dengan aspirasi serta kedaulatan Islam sebagai agama Persekutuan.

“PEMBELA berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil serius akan tuntutan ini bagi kelangsungan dan jaminan untuk agenda Islam dan Bumiputera dapat ditegakkan melalui sistem Parlimen,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusoff mengesahkan telah menerima usul mencadangkan supaya khidmat beliau sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ditamatkan.

Beliau berkata, turut diterima adalah usul mencadangkan supaya khidmat Nga Kor Ming sebagai Timbalan Speaker juga ditamatkan.

Mohamad Ariff berkata, kedua-dua usul itu diterima mengikut amalan biasa dan selari dengan Peraturan Majlis Mesyuarat serta tanpa berat sebelah.

Usul tersebut dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan diserahkan kepada Dewan Rakyat pada petang Jumaat (26 Jun) lepas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close